Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | PRU pada musim Deepavali tidak cerminkan semangat Keluarga Malaysia
Adakah kerajaan kepimpinan Ismail Sabri tidak “belajar” daripada bencana bah yang melimpah Hulu Langat, Sri Muda dan telah melanda Baling beberapa kali dalam bulan ini dan bulan lepas.

Keputusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan parlimen sekaligus memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ke-15 Malaysia yang dalam masa 60 hari ini amat mengecewakan rakyat pelbagai lapis.

Sepertimana yang kita tahu, penganut agama Hindu seluruh dunia khususnya di Malaysia akan menyambut perayaan Deepavali pada 24hb Okt iaitu dalam masa dua minggu.

Setelah tiga tahun sambutan Deepavali tidak dapat diraih seperti “biasa” dengan norma baru dan sekatan sambutan besar-besaran akibat pandemik Covid-19, penganut Hindu di Malaysia dijangka menyambut perayaan cahaya ini dengan meriah sekali tahun ini.

Kebanyakkan ‘bazaar Deepavali” di Little India seluruh negara dijangka berjalan lancar setelah dua tahun.

Oleh kerana jangkaan hari penamaan calon pada hujung bulan ini dan permulaan kempen pilihanraya secara tidak rasmi oleh semua parti-parti politik, kita boleh menjangka yang perayaan Deepavali kali ini akan “dipolitikkan” oleh sesetengah politikus tanahair khususnya parti-parti politik India.

Dalam pada itu, mengikut jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Kebimbangan rakyat turut dicerminkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip yang berkata, PRU-15 tidak wajar dilakukan tahun ini khususnya dalam keadaan perubahan iklim yang sedang berlaku.

Adakah kerajaan kepimpinan Ismail Sabri tidak “belajar” daripada bencana bah yang melimpah Hulu Langat, Sri Muda dan telah melanda Baling beberapa kali dalam bulan ini dan bulan lepas.

Apakah nilai seorang manusia hanya dilihat sebagai suatu alat mengundi?

Antara nilai-nilai yang diwar-warkan di bawah payung Keluarga Malaysia adalah kebersamaan dan kesyukuran. Keputusan untuk memberi laluan kepada PRU15 semasa musim perayaan Deepavali dan musim Monsun Timur Laut adalah tidak sama sekali termasuk dalam nilai kebersamaan dan haruskah rakyat Malaysia syukur atas keputusan Perdana Menteri?

Rakyat Malaysia yang sepatutnya bersiap-sedia untuk menghadapi Monsun Timur Laut dibebankan dengan politik gobrok yang pentingkan “kerusi dan jawatan”.

NOVINTHEN KRISHNAN ialah Ahli Jawatankuasa Pilihanraya PKR Negeri Perak

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS