Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Penting untuk parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bergerak bebas dan tidak melekat dengan mana-mana parti politik sedia ada.

Ia memudahkan mereka membawa pembaharuan serta memenuhi harapan ramai untuk melihat kemunculan kuasa baru atau kuasa ketiga (third force power) yang boleh memberi harapan baru pada rakyat Malaysia, khususnya pengundi.

Muda yang ditubuhkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada September 2020 tidak perlu mengadakan sebarang kerjasama, usahasama dan persefahaman dengan mana-mana parti politik seperti parti BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) jika benar-benar ingin membawa pembaharuan.

Parti-parti politik sedia ada ini sudah lama bertapak. 

Idea dan matlamat mereka pun dilihat makin hari makin tidak selari dengan citarasa generasi masa kini. 

Saya lebih suka tengok Muda bergerak solo, walaupun sukar untuk mana-mana parti politik baru untuk memulakan langkah.

Rakyat negara ini sudah muak dengan kewujudan parti-parti politik lama. 

Penubuhan Muda diharapkan dapat memberi pilihan dan harapan baru kepada rakyat khususnya pengundi untuk diberi kepercayaan dan mentadbir Malaysia.

Muda dipelopori rata-ratanya oleh generasi muda yang memiliki idea serta matlamat baru yang dilihat sesuai dengan kehendak generasi masa kini.

Muda ini diharapkan memberi alternatif berlainan kepada rakyat Malaysia untuk mengubah landskap politik negara yang sudah lama diterajui generasi tua yang sudah ketinggalan zaman dan tidak faham hasrat generasi baru. 

Pucuk pimpinan parti Muda perlu menyatakan dengan jelas kepada seluruh rakyat Malaysia, adakah mereka sebuah parti yang benar-benar bebas?

Soalan mudahnya adakah Muda akan jadi sebahagian daripada BN, PN atau PH? 


Baca: Muda suarakan hasrat sertai PH


Oleh yang demikian, Muda perlu melihat semula hala tuju mereka sendiri. 

Persoalan ini harus dijawab dengan ikhlas dan jelas oleh kepimpinan parti itu sendiri. 

Muda tidak boleh membiarkan rakyat Malaysia ternanti-nanti dan tertanya-tanya dengan hala tuju sebenar parti bagi mengelakkan salah faham berlaku, bukan sahaja di kalangan ahli malah para pengundi dan seluruh rakyat Malaysia.


MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS