Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | PAS Kluang sambut baik penyelarasan cuti mingguan di Johor

PAS kawasan Kluang menyambut baik cadangan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi supaya kerajaan negeri  mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu yang ditetapkan sebelum ini pada hari Jumaat dan Sabtu.

Isu penyelarasan cuti telah lama disuarakan oleh penduduk di Johor kerana cuti hujung minggu yang berbeza untuk pihak kerajaan dan pihak swasta sehingga menyebabkan kesukaran ibubapa untuk memperuntukkan masa bersama anak-anak khususnya bagi ibu bapa yang berkerja dalam sektor swasta.

Johor telah kembali bercuti pada hari Jumaat apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor  berkuat kuasa pada 1 Januari 2014 ketika majlis sambutan Hari Keputeraanya kali ke -55 di Dewan Jubli Intan Muar, Johor.

Antara faktor utama titah pertukaran cuti tersebut adalah bagi menghormati hari Jumaat sebagai penghulu segala hari dan selaras dengan negeri Johor yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi. 

Negeri Johor pernah menjadikan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti minggu sebelum tahun 1994 dan dengan pertukaran cuti kembali ke hari Jumaat telah memberikan banyak ruang kepada masyarakat beragama Islam di Johor khususnya di kalangan anak-anak menunaikan solat Jumaat dengan selesa.

PAS Kluang menyambut baik saranan MB Johor ini dan menggesa supaya cuti di Johor dikekalkan pada hari Jumaat dan Sabtu dengan mengambil tindakan yang sewajarnya supaya cuti swasta juga diselaraskan ke hari Jumaat dan Sabtu seperti mana yang dilaksanakan di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

PAS Kluang yakin bahawa MB Johor mampu untuk melaksanakan penyelarasan cuti hujung minggu ini dengan sebaiknya khususnya dengan mengambil kira titah Sultan Johor ketika hendak melaksanakan cuti pada hari Jumaat.


KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL ialah yang dipertua PAS kawasan Kluang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS