Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memantau perkembangan terkini di India susulan insiden penghinaan secara terbuka pemimpin politik Bharatiya Janata Party (BJP) ke atas Nabi Muhammad SAW.
Perkembangan terkini telah menyaksikan regim pemerintah India telah melanggar hak asasi rakyat yang telah mengadakan bantahan secara aman di beberapa wilayah di India.
Ia dapat dilihat dalam liputan media-media antarabangsa yang menyaksikan mereka yang berhimpun secara aman telah dipukul, diseksa dan ditahan oleh pihak berkuasa India.
Abim menegaskan, insiden sebegini adalah satu pencabulan jelas ke atas hak asasi rakyat untuk mengadakan bantahan secara aman.
Justeru, Abim menggesa badan hak asasi dunia khususnya United Nations Human Rights Council (UNHRC) di bawah pimpinan HE Michelle Bachelet untuk mengecam pelanggaran hak asasi secara terang-terangan ini.
Dalam masa yang sama, Abim menuntut kenggotaan India sebagai anggota UNHRC untuk disemak semula memandangkan situasi semasa menjelaskan bagaimana kerajaan India tidak menghormati prinsip hak asasi manusia.
Adalah sesuatu yang amat memalukan, bila mana badan hak asasi manusia dunia seperti UNHRC dianggotai oleh kerajaan yang secara jelas mencabuli hak asasi manusia.
Pencabulan tersebut tidak terhad hanya kepada insiden terkini, tetapi pencabulan hak asasi yang dilakukan secara terang-terangan sebelum ini seperti di wilayah Kashmir, Assam, Karnataka dan beberapa wilayah lain.
Dalam masa sama, Abim turut menggesa agar Malaysia yang terpilih menganggotai UNHRC untuk tempoh 2022-2024 untuk turut memainkan peranan membawa perkara ini dengan lebih tegas ke peringkat antarabangsa sebagai tanggungjawab memelihara prinsip hak asasi di jagat antarabangsa.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Artikel ini pandnagan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.