Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Henti polemik PRU, rakyat hadapi banyak isu besar

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) meneliti desakan dan kerakusan segelintir elit politik terkait gesaan pelaksanaan PRU ke-15.

PKPIM berpandangan polemik ini tidak sewajarnya berterusan dan sebaliknya menggesa seluruh elit politik mengurangkan keresahan rakyat mutakhir.

Pelbagai isu besar negara memerlukan keprihatinan ahli politik seluruhnya. Perkara-perkara tersebut mencakupi soal inflasi, keselamatan bekalan makanan, kenaikan harga barang secara tidak terkawal, ketidaktentuan ekonomi negara, kesejahteraan mental rakyat dan kecemasan iklim.

PKPIM berpandangan kesemua parti politik seharusnya duduk bersama serta memperhalusi langkah-langkah proaktif dalam menangani permasalahan mendesak rakyat.

Umum mengetahui kos pengurusan perjalanan pilihan raya bakal menyaksikan perbelanjaan sejumlah besar wang negara.

Justeru, wajarlah perbelanjaan pengurusan pilihan raya umum diutamakan untuk manfaat yang lebih besar seperti suntikan modal dan inisiatif bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana dalam memulihkan perusahaan mereka pascapandemik.

PKPIM tidak menolak kepentingan kestabilan politik sesebuah negara bagi menarik pelabur asing dan pertumbuhan ekonomi. Namun kami melihat perkara-perkara yang termaktub dalam memorandum persefahaman antara kerajaan dan PH wajar diteruskan sebagai suatu usaha mewujudkan kestabilan politik tanah air.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM mengesyorkan usaha-usaha ke arah penetapan waktu pilihan raya harus mengambil kira langkah-langkah transformasi politik dan kerajaan seperti penggubalan Akta Anti Lompat Parti dan pengehadan tempoh kepimpinan perdana menteri terlebih dahulu.

Ini bagi memastikan krisis demokrasi tidak berulang dengan adanya mekanisme tambahan bagi melindungi mandat demokrasi yang diberikan oleh seluruh rakyat.


AHMAD FARHAN BIN ROSLI adalah presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS