Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dunia digemparkan dengan pembunuhan seorang wartawan wanita dari stesen TV antarabangsa Al Jazeera bernama Shireen Abu Akleh ketika membuat liputan serbuan tentera Zionis (Israel Defense Force, IDF) di penempatan pelarian Jenin pada 11 Mei 2022.

Mendiang yang berketurunan Arab Kristian dan merupakan pemegang kerakyatan Amerika Syarikat dan Palestin itu dilaporkan ditembak tepat di kepala (bawah telinga) walaupun lengkap berpakaian jaket perisai tubuh dan helmet serta tertera perkataan "PRESS" dengan jelas.

Kematian wartawan tersebut adalah rentetan daripada senarai panjang pembunuhan terancang dan disengajakan oleh pihak kerajaan haram Israel yang bukan saja memangsai warga Palestin yang sedang ditindas mereka, malah sesiapa sahaja yang cuba mempertahankan kebenaran.

Kita tidak lupa bagaimana sebelum ini seorang gadis remaja seorang aktivis kemanusian dari Amerika Syarikat, Rachel Corrie dilanggar dan digilis oleh jentolak Zionis ketika mendiang cuba mempertahankan rumah sebuah keluarga Arab Palestin daripada dirobohkan pada tahun 2003.

Kita juga masih ingat bagaimana Rouzan al-Najjar iaitu seorang paramedik lapangan syahid ditembak oleh penembak tepat tentera Zionis ketika gadis Palestin tersebut giat membantu mangsa-mangsa yang tercedera ketika protes di sempadan Gaza-Israel pada tahun 2018.

Jelas Zionis amat takut dengan kaum Hawa yang berhati waja, yang datang dari pelbagai keturunan, agama dan malah berbeza negara serta peranan masing-masing demi untuk membantu warga Palestin yang sedang dijajah oleh Rejim Zionis sejak sekian lamanya.

Bagi mewakili warga Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) khususnya dan juga warga Malaysia secara amnya, saya mengutuk sekeras-kerasnya jenayah kemanusian yang hina serta keji oleh rejim Zionis.


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah Timbalan Pengerusi Sektor Penyelidikan, Penerbitan dan Antarabangsa Yadim.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS