Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | K'jaan perlu ambil langkah profesionalkan khidmat pengasuh

SURAT | Berita tragis kematian bayi di Klang, Selangor yang dilaporkan media tempatan bukan berita yang asing lagi.

Malah, sejak kebelakangan ini, insiden malang berkaitan bayi dan kanak-kanak berlaku dimana-mana, sama ada dalam jagaan pusat asuhan, rumah perlindungan atau rumah pengasuh.

Hakikatnya kecuaian boleh berlaku dimana-mana. Oleh hal yang demikian, ilmu pengetahuan berkaitan asuhan dan pengendalian bayi dan kanak-kanak penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka terjamin.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat mewajibkan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK).

Namun, keberkesanan dan bilangan pengasuh yang menjalankan kursus ini masih samar. Selain itu, kadar bayaran kursus yang lumayan tinggi dijalankan oleh pihak ketiga.

Kementerian dan pihak berkaitan perlu memperkasa pengasuh sebaik mungkin terutama pengasuh-pengasuh di rumah. Hal ini penting untuk membina jaringan keselamatan sosial sekaligus mengurangkan kebimbangan ibu bapa.

Muda Pulau Pinang mencadangkan kementerian untuk menyediakan langkah-langkah awal memprofesionalkan perkhidmatan pengasuhan.

Selain itu, kerajaan harus menyediakan kursus penjagaan bayi dan kanak-kanak yang lebih sistematik kepada ibu bapa atau bakal ibu bapa.

Muda Pulau Pinang juga menyarankan ibu bapa untuk menyelidik personaliti pengasuh dan bertanyakan pengalaman ibu bapa yang lain sebelum menghantar anak-anak ke bawah jagaan pengasuh.

Ibu bapa juga harus memilih pengasuh yang menjalani kursus yang bertauliah.

Selain itu, kerajaan wajar mewujudkan lebih banyak Tadika Kemas dan Perpaduan. Tambahan pula, kerajaan patut berkerjasama dengan sektor swasta untuk meluluskan lebih banyak taska tempat kerja bagi menyenangkan ibu bapa.

Muda Pulau Pinang juga mengharapkan pembelaan sewajarnya terhadap semua kes pengabaian, penyeksaan dan kematian yang telah berlaku.

Muda Pulau Pinang menghantar salam takziah kepada keluarga tersebut yang baru kehilangan anak tersayang.


Priyankaa Loh Xian Ping merupakan Ketua Parlimen Muda Bagan. Masturah Afandi merupakan JKEN Muda P Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS