Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) secara amnya mengalu-alukan semakan semula langkah kawalan Covid-19 bermula 1 Mei 2022. 

Namun kami ingin menyeru rakyat dan kerajaan untuk terus berwaspada. Kami menyambut baik pendekatan beransur-ansur dalam menyemak semula mandat pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka sambil mengekalkan mandat tersebut di kawasan tertutup dan ketika menggunakan pengangkutan awam termasuk kenderaan e-hailing

Kami menyarankan:

1. Melaksanakan kelonggaran mandat pelitup muka di kawasan terbuka dengan berhati-hati. Sejurus selepas kelonggaran diberikan termasuk penghapusan mandat pelitup muka di Amerika Syarikat dan United Kingdom, bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital meningkat, dengan kadar kematian yang tinggi. 

Di samping itu, hanya 21% kanak-kanak di Malaysia berumur lima hingga 11 tahun telah menerima sekurang- kurangnya satu dos vaksin; dan masih tiada vaksinasi bagi kanak-kanak berumur bawah lima tahun. 

Justeru, kanak-kanak berisiko dijangkiti Covid yang lebih teruk dan kita perlu melindungi golongan rentan ini. Oleh yang demikian, mandat pelitup muka di kawasan terbuka perludilaksanakan dengan berhati-hati.

2. Memperkasa peranan masyarakat, terutamanya ujian kendiri

Selaras dengan kelonggaran yang diberikan, kerajaan perlu terus memberi tumpuan untuk mendidik orang ramai, terutamanya mengenai laporan keputusan ujian kendiri untuk memastikan semua keputusan dilaporkan. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia mesti memainkan peranan sebagai rakyat yang bertanggungjawab dengan melaporkan semua keputusan ujian kendiri melalui MySejahtera dan menjalani kuarantin di rumah sekiranya status profil MySejahtera menunjukkan risiko tinggi atau telah menerima arahan perintah pengawasandan pemerhatian di rumah.

3. Mempertimbang semula dasar kelonggaran sekiranya keadaan berubah. Kelonggaran sekatan bermula 1 Mei 2022 boleh dianggap sesuai selagi keputusan dibuat berdasarkan bukti yang kukuh. 

Bagaimanapun, keputusan ini harus dipertimbang semula sekiranya keadaan epidemiologi, virologi atau kesihatan awam berubah. 

Dasar Ujian dan Pelepasan (Test and Release) yang membenarkan penamatan kuarantin pada hari keempat jika ujian RTK Antigen yang diselia pengamal perubatan didapati negatif, mungkin perlu dipertimbangsemula. 

Selaras dengan kenyataan bersama kami pada 10 Februari 2022, kami ingin menekankan keperluan untuk meningkatkan kapasiti penjujukan genomik bagi mengesan varian baru.

Memandangkan Malaysia masih berada di fasa peralihan ke endemik (dan belum lagi fasa endemik), kita perlu terus mendidik rakyat Malaysia bahawa Covid-19 masih merupakan ancaman kepada kesihatan awam. 


GABUNGAN KESIHATAN MALAYSIA (MHC) terdiri daripada lebih 70 organisasi dan individu yang mewakili bidang kesihatan di Malaysia. Senarai lengkap ahli di sini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS