Paling Popular
Terkini

Pemuda Amanah dan Peguam Muda Amanah tersinggung dengan laporan media bahawa SPRM memulakan siasatan ke atas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali atas dakwaan terdapat transaksi mencurigakan melibatkan akaunnya.

Ketua pesuruhjaya SPRM memberi alasan bahawa siasatan dibuat kerana terdapat laporan. Ia merupakan alasan yang lemah, tidak berasas dan mengelirukan. 

Tidak salah untuk pihak umum beranggapan bahawa siasatan yang sedang dijalankan ke atas Nazlan adalah suatu bentuk intimidasi eksekutif ke atas badan kehakiman.

Pemuda Amanah ingin membawa perhatian kepada peruntukkan Seksyen 29(3) Akta SPRM 2009 bahawa kuasa menjalankan siasatan oleh SPRM boleh dilakukan sekiranya pegawai SPRM mempunyai “sebab untuk mengesyaki” dan bukan semata-mata atas alasan laporan telah dibuat. 

Mohd Nazlan Mohd Ghazali

SPRM sepatutnya menilai terlebih dahulu laporan yang diterima dan menyatakan apakah sebab yang disyaki tersebut sebelum membuat siasatan ke atas Nazlan.

Pemuda Amanah juga kecewa dan mengutuk sifat limau masam sebelah oleh SPRM yang penuh hipokrasi dalam menjalankan tugas dan Amanah. 

Rakyat juga masih ingat bagaimana SPRM membisu malah dengan segera menafikan keperluan siasatan apabila KP SPRM dituduh menyalahgunakan kedudukan sebelum ini walaupun ada laporan telah dibuat. 

Di manakah integriti badan pencegahan rasuah negara sekarang ini?

Justeru, Pemuda Amanah mendesak agar penyiasatan ke atas Nazlan dihentikan segera dan intimidasi eksekutif ini tidak boleh dibenarkan berpanjangan. 

Pemuda Amanah berharap agar tindakan yang sedang berlaku ini bukan suatu konspirasi panjang untuk mencemarkan nama hakim pertama yang menyabitkan penjenayah rasuah, Najib Razak.

Dalam apa keadaan sekalipun, Najib dan pengikutnya perlu sedar bahawa beliau dijatuhi bersalah bukan sahaja oleh Nazlan malahan dikekalkan keputusannya oleh tiga orang lagi hakim Mahkamah Rayuan iaitu Abdul Karim Abdul Jalil, Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera. 

Panel Mahkamah Rayuan malah menggelarnya sebagai "national Embarassment". 

Adakah ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan ini juga akan dipalit dengan kontroversi mengarut?


FADHLI UMAR AMINOLHUDA ialah exco Pemuda Amanah merangkap pengerusi Peguam Muda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS