Paling Popular
Terkini

Pada 26 Januari lalu, gabungan pembangkang terbesar negara iaitu Pakatan Harapan (PH) mengumumkan DAP dan Amanah akan bertanding menggunakan logo PH. 

Namun, PKR pula akan menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya negeri Johor.

Keputusan ini secara tidak langsung mencetuskan pelbagai spekulasi yang kurang enak tentang langkah yang dilihat tidak sehaluan antara satu sama lain. 

Walaupun agihan kerusi ditetapkan dan dibincangkan agar tidak berlaku pertembungan, ia tetap dilihat seolah-olah retak menanti belah.

Setelah berakhirnya pilihan raya Melaka pada 20 November 2021, Amanah dan DAP berpendapat PH kalah kerana ramai pengundi Melaka yang tinggal serta bekerja di luar negeri tidak pulang. Berlaku juga undi protes di kalangan anggota PH sendiri.

Namun, pandangan berbeza dinyatakan PKR. Mereka berpendapat ramai pengundi tidak keluar kerana lambang PH tidak popular serta tidak diketahui ramai. 

Sebahagian akar umbi PKR Melaka menyatakan ramai pengundi tegar PH tidak mengenali logo PH sehingga mereka beranggapan PH tidak bertanding pada PRN Melaka. 

Situasi ini timbul kerana pada PRU ke -14 (2018) lalu, logo atau lambang PKR digunakan dan ia dikenali ramai tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Amanah dan DAP pula bertegas bahawa PH kalah pada PRN Melaka bukan atas faktor lambang tapi atas penolakan pengundi. Sebahagian pengundi beralih kepada gabungan baharu Perikatan Nasional. 

Ketidakfahaman PKR dan Amanah-DAP sebenarnya dirasai oleh akar umbi parti masing-masing. Pelancaran jentera Amanah dan DAP dilakukan di lokasi serta tempat yang berasingan dengan pelancaran jentera PKR. 

Rakyat dan pemerhati politik juga merasai akan kerenggangan hubungan parti-parti komponen PH sejak Langkah Sharaton pada Februari 2020.

Jika PKR berjaya memenangi banyak kerusi Dewan Undangan Negeri Johor pada PRN kali ini, bermakna benarlah teori yang didukung oleh sebahagian ahli akar umbi mereka - bahawa PH kalah disebabkan logo.  Logo PH yang tidak sepopular logo PKR yang pernah digunakan pada PRU ke14 pada 2018. 

Amanah dan DAP mungkin akan mengikuti nasihat PKR selepas ini apabila bertanding dalam mana-mana PRN atau PRU.

Namun, jika PKR kalah teruk maka benarlah dakwaan DAP dan Amanah bahawa PH kalah pada PRN Melaka bukanlah disebabkan logo PH. Ego PKR akan mula ditundukkan sedikit oleh DAP dan Amanah.

Teori dan jangkaan siapa yang tepat mengenai keputusan penggunaan logo? Mari kita nantikan keputusan PRN Johor pada 12 Mac 2022 nanti.


MUHAMMAD SYUKHRI SHAFEE merupakan felo kepada Nusantara Academy for Strategic Research dan aktif dalam penulis mengenai berita politik, kesedaran sosial dan isu-isu semasa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS