Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Pertimbang PKP jangka pendek kurangkan kes Covid-19

Pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jangka pendek selama dua atau tiga minggu ataupun maksimum selama sebulan bagi membendung penularan virus Covid-19 dan varian Omicron yang meningkat dengan mendadak sejak kebelakangan ini.

Pihak kerajaan tidak boleh hanya mengharapkan sepenuhnya terhadap saranan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sahaja bagi mengawal penularan virus Covid-19 dan varian Omicron yang berlaku dalam negara kita pada kita.

Negara kita tidak akan merekodkan jumlah jangkitan virus Covid-19 dan varian Omicron yang begitu tinggi sekiranya orang ramai patuh pada setiap saranan SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan kepada mereka.

PKP dilihat sebagai pilihan yang sesuai untuk dilakukan kerana ia boleh dikuatkuasa dengan lebih ketat dan keras oleh pihak penguatkuasa bagi mengawal penularan virus Covid-19 dan varian Omicron.

Semenjak kebelakangan ini sudah terdapat peningkatan mendadak terhadap jumlah kes jangkitan virus Covid-19 serta varian Omicron dalam negara kita.

Peningkatan kes jangkitan virus Covid-19 serta varian Omicron ini adalah amat membimbangkan dan ia tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak walaupun majoriti rakyat kita sudah mengambil vaksin.

Pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk menutup sementara beberapa sektor tertentu dalam negara kita yang dilihat memiliki jumlah jangkitan yang tinggi seperti sektor pendidikan serta beberapa jenis sektor pekerjaan dan ekonomi tertentu yang tidak akan memberi impak teruk pada negara kita sekiranya ia ditutup sementara waktu.

Untuk rekod, perintah PKP yang ketat dengan penutupan hampir keseluruhan sektor pekerjaan dan institusi pendidikan pernah dilaksanakan dalam negara kita pada bulan Mac dan April tahun 2020 yang lalu. Perintah PKP berkenaan telah diumumkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020 yang lalu.

Antara intipati utama perintah PKP berkenaan adalah larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara.

Ini termasuk penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta dan lain – lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra – universiti, penutupan semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta, kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara.

Memandangkan terdapat pengurangan jumlah kes jangkitan virus Covid-19 selepas pelaksanaan PKP ini, pada 1 Mei 2020, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan khasnya sempena sambutan Hari Pekerja telah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pada 7 Jun 2020, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan bahawa bermula pada 10 Jun 2020, Perintah PKPB ini digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun hingga 31 Disember 2020.

Pada 13 Januari 2021 yang lalu pihak kerajaan telah menguatkuasakan semula perintah PKP di beberapa buah negeri yang kemudiannya telah dikuatkuasakan di seluruh negeri dalam Malaysia kerana terdapat peningkatan jumlah kes jangkitan virus Covid-19 yang tinggi dalam negara kita.

Namun, pelaksanaan PKP buat kali kedua pada tahun 2021 ini tidak seperti PKP yang telah dilaksanakan pada tahun 2020 yang lalu. Banyak sektor pekerjaan dan ekonomi yang dibenarkan untuk dibuka. Sekolah pun dibenarkan untuk dibuka bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama.

Dengan peningkatan mendadak jumlah jangkitan Covid-19 ini dalam negara kita semenjak kebelakangan ini, pihak kerajaan boleh beri pertimbangan untuk menguatkuasakan semula perintah PKP seperti yang telah dilaksanakan pada bulan Mac dan April tahun 2020 lalu bagi membendung penularan virus Covid-19 dalam negara kita.

Perintah PKP ini dilihat sesuai untuk dilakukan bagi membendung penularan virus Covid-19 kerana segala perintah didalamnya adalah lebih ketat, tegas dan dapat diseragamkan diseluruh negara.

Bagi mengelakkan perlaksanaan PKP ini untuk tempoh yang panjang sehingga boleh menjejaskan kehidupan orang ramai, semua pihak perlu memainkan peranan masing -masing bagi membendung penularan virus Covid-19 ini dalam negara kita. Pematuhan kepada semua arahan dan

Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan adalah penting bagi mengelakkan jangkitan diri mereka terhadap virus Covid-19 ini. Tindakan undang – undang tegas perlu diambil dengan segera terhadap mana – mana pihak tanpa mengira kedudukan mereka yang didapati masih berdegil melanggar arahan dan SOP yang telah dikeluarkan seperti yang telah diperuntukkan dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Pihak kerajaan juga perlu melakukan proses pemantauan dengan lebih ketat lagi terhadap semua pintu masuk negara termasuk udara, darat dan laut bagi mengelakkan kemasukan mana – mana pihak termasuk pendatang tanpa izin (PATI) yang dijangkiti dengan virus Covid-19 atau sebarang jenis varian baru.

Pihak majikan di semua jenis sektor pekerjaan juga perlu memandang serius terhadap peningkatan jumlah kes jangkitan virus Covid-19 ini. Sebagai seorang ketua di tempat kerja, pihak majikan perlu dengan sedaya upaya mereka memastikan tahap keselamatan dan kesihatan semua pekerja mereka termasuk pekerja warga asing berada dalam keadaan yang baik pada setiap masa.

Pihak majikan perlu juga memastikan semua pekerja mereka tidak terdedah dengan sebarang jenis penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan tahap keselamatan dan kesihatan diri perkerja mereka sendiri serta orang lain dan ini termasuklah perlindungan daripada penyakit berjangkit seperti Covid-19yang sedang berlaku pada masa kini.

Tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi keselamatan dan keselamatan para pekerja ini bukan sahaja telah ditentukan dari sudut tanggungjawab moral sahaja malah ianya juga telah termaktub dibawah peruntukan undang – undang buruh seperti dibawah Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 [Akta 514].

Pihak majikan disektor –sektor tertentu perlu melaksanakan sepenuhnya sistem pekerjaan secara fleksibel serta membenarkan pekerja mereka melakukan kerja dari rumah bagi mengelakkan berlakunya jangkitan dikalangan pekerja mereka ditempat kerja. Pengunaan teknologi dalam talian untuk tugasan pejabat tertentu, mesyuarat, seminar dan kursus perlu dilakukan dengan sepenuhnya bagi elakkan jangkitan virus Covid-19 serta varian Omicron ini daripada meningkat dengan mendadak sehingga diluar kawalan kita semua.

Bagi sektor pendidikan pula, pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi boleh memberi pertimbangan untuk mengunapakai proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian (PdPR) buat sementara waktu bagi mengelakkan risiko jangkitan virus kepada para pelajar di sekolah dan universiti.

Langkah ini juga dapat membantu negara kita mengawal penularan jangkitan Covid-19 serta varian yang ada dengan lebih baik dan berkesan.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW berkhidmat sebagai profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS