Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Penolakan terhadap pelaksanaan i-Citra demi masa depan pencarum, kaum pekerja

Kesatuan Kebangsaan Pelaut-pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) tidak dapat menerima hakikat bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kementerian Kewangan sanggup mengorbankan lagi wang simpanan hari tua kaum pekerja di negara kita.

Rakyat telah dibebani oleh kenaikan harga barang yang tidak menentu dan tidak terkawal, sehingga rakyat dalam semua golongan termasuk kaum Pelaut tidak mampu membeli barang keperluan harian untuk menyara keluarga mereka. Jauh lagi hendak mendapat makan yang seimbangan bagi menjaga kesihatan sekeluarga.

Dengan beban hutang yang sedia ada dan perlu menyara keluarga, rakyat dan kaum pekerja sentiasa diuji dengan tindakan serta polisi yang tidak memihak kepada kaum pekerja dan ahli kesatuan secara terus. Impak yang mendalam ini akan menjadi satu kesan yang mungkin tidak dapat diatasi oleh ahli-ahli kami, kerana makin hari makin mendalam masalah kewangan.

Mengikut kenyataan pengerusi KWSP bahawa pada masa ini 48 peratus pencarum KWSP di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP pada tahap kritikal, pekerja hanya ada sekitar RM1,000 dalam simpanan untuk hari tuan. Ini satu perkembangan yang amat menyedihkan dan membimbangkan. Dengan keadaan sebegini dan landskap kewangan para pekerja, NUSPM berpendirian bahawa duit simpanan hari tua pekerja KWSP tidak lagi DICEROBOHI dan DINODAI oleh pihak yang bertanggungjawab.

Sebab utama NUSPM menolak I-Citra adalah kerana, jangka hayat yang lebih panjang penduduk Malaysia ia itu bagi kaum lelaki dijangka sehingga umur 72 tahun dan perempuan dijangka sehingga 77 tahun. Ahli perlu simpanan yang cukup untuk menampung persaraan sehingga umur 80 tahun dan lebih, atau 25 tahun selepas umur pengeluaran penuh.

Pengeluaran tambahan daripada KWSP akan menjejaskan simpanan yang sememangnya sudah kurang dan kini perlu dipanjangkan untuk menampung bilangan tahun persaraan yang semakin meningkat.

Ramai ahli yang meminta pengeluaran tambahan berhadapan dengan hutang yang tertunggak atau perlu menampung perniagaan mereka untuk menyara hidup. NUSPM berpendapat bahawa dengan penyediaan menyediakan pelbagai bantuan untuk peniaga kecil, termasuk geran, pinjaman bersubsidi dan kredit sebagai sebahagian daripada pakej-pakej rangsangan, sama ada melalui bank ataupun secara terus melalui agensi kerajaan. Oleh yang demikian, ahli tidak seharusnya menggunakan simpanan mereka sendiri untuk memulakan atau membina semula perniagaan mereka. Ahli seharusnya tidak perlu menggunakan simpanan persaraan berharga mereka kerana terdapat banyak alternatif yang telah disediakan oleh kerajaan untuk membantu mereka mengharungi cabaran kehidupan

Bagi mereka yang mempunyai masalah seperti terlewat membuat pembayaran balik hutang, bank telah membantu dalam memberi kelonggaran, dan sebarang aduan mengenai bank yang tidak memberi maklum balas terhadap perkara ini, ahli boleh merujuk terus kepada Bank Negara. Lebih penting lagi, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mempunyai kuasa untuk menstruktur semula mana-mana pinjaman pengguna, dan boleh membantu ahli menguruskan beban hutang mereka.

Menjadi peranan dan tanggungjawab Kerajaan membantu pekerja-pekerja yang memerlukan sokongan kewangan, bukannya menyentuh simpanan hari persaraan yang ada di dalam KWSP pada hari ini.

Kami berharap pihak yang bertanggungjawab segera mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menghentikan pemberian i-Citra dan mengambil tanggungjawab bagi membantu rakyat dalam masa yang tertekan ini.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS