Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | 'Malaysia gagal, mengecewakan di sidang COP26'

Pada 31 Oktober, bermulanya Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) 2021 di Glasgow yang bakal menjadi penentu untuk kita menghadapai cabaran sebenar di dalam Abad ke 21.

Manusia sedang menghadapai ancaman yang lebih dahsyat dari pandemik Covid-19 yang baru dapat dimitigasi oleh dunia setelah hampir dua tahun melumpuhkan ekonomi dunia.

Dengan program vaksinasi yang mampan di seluruh dunia membolehkan 120 Kepala Negara Dunia dengan 25,000 delegasi dari 197 negara dan lebih 100,000 aktivis, NGO, korporat dan akhir sekali demonstrator berkampung di Glasgow, Scotland, UK selama dua minggu untuk bersama di dalam COP26 atau Conference of Parties edisi yang ke-26. COP21 bermakna persidangan ahli parti yang terlibat di dalam isu perubahan iklim.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim pula merupakan persidangan tahunan yang bertindak di dalam Kerangka Kovensi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCC) bermula pada 1995 di Berlin, Jerman sebagai hos pertama.

Sejak dari persidangan yang pertama, pelbagai ranjau dan duri telah dilalui untuk mendapatkan persetujuan semua negara anggota untuk mengakui bahawa:

  • Pemanasan global sedang berlaku.
  • Ia berlaku adalah disebabkan oleh perbuatan manusia yang melepaskan emisi gas karbon dioksida dan juga pelbagai gas beracun lain ke atmosfera yang menyebabkan kesan rumah hijau.
  • Ini menyebabkan fenomena perubahan iklim yang ditandai dengan kejadian cuaca ektrem.

Gambar fail, protes darurat iklim.

Pada 1997, Kyoto Protocol telah ditandatangani dan dikuatkuasa pada 2005 sebagai percubaan pertama Negara-negara maju dan membangun mengurangkan perlepasan gas karbon dioksida dan berusaha menukar sistem ekonomi berasaskan bahan api fosil kepada yang lebih hijau dan boleh diperbaharui.

Di sinilah bermula kerumitan dan krisis apabila pemimpin dunia maju dan kapitalis cuba melengah-lengahkan usaha mengurangkan emisi karbon dioksida ke udara dan cuba meletakkan beban karbon pada Negara-negara membangun. Pelbagai slogan jargon dan retorik dilontarkan kepada umum sedangkan pengunaan bahan api fosil terus meningkat tahun demi tahun.

Selang 18 tahun selepas kegagalan Kyoto Protocol, Dunia sekali lagi berjaya mencapai persetujuan melalui Paris Agreement pada 2015 untuk mengurangkan kenaikan suhu dunia pada takat 2°C dari waktu Pra-Industri dan menumpukan usaha mengekalkan pada takat 1.5°C.

Ketika ini bumi kita telah mengalami kenaikan sebanyak 1.2°C dari sebelum zaman indsutri. Selain itu, perjanjian ini juga menetapkan untuk meneruskan usaha mengurangkan perlepasan karbon atau menuju kebarangkalian untuk sifar bersih karbon pada pertengahan abad ke 21 melalui setiap negara harus mengakui dan mengutarakan rancangan dan laporan tahunan mengenai usaha mengurangkan emisi karbon ke udara negara masing-masing.

Aku janji Malaysia di dalam COP26?

Kegagalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menghadiri bersama-sama rakan sejawatan yang lain dari seluruh dunia amat mendukacitakan.

Sepatutnya menteri itu mengambil peluang ini untuk membuktikan bahawa PAS sedang mengetuai satu pelan tindakan yang mampu membawa negara Malaysia lebih lestari dan mampan dan menjuarai isu-isu alam sekitar sesuai dengan warna rasmi parti.

Mungkin PRN Melaka lebih penting bagi semua pimpinan Keluarga Malaysia dari pergi berbincang dengan pimpinan seluruh dunia yang lain mengenai usaha menangani perubahan iklim. 

Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mereka lebih suka menyerahkan tugas penting mengetuai delegasi Malaysia kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Dr Zaini Ujang. 

Perdana Menteri Keluarga Malaysia, Ismail Sabri Yaakob dalam membentangkan Rancangan Malaysia ke 12 pada awal September dan melalui Belanjawan 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz telah menyatakan visi besar negara untuk mengorak langkah melestarikan pembangunan negara kepada teknologi hijau dan mengurangkan kebergantungan negara kepada petroleum dan gas asli selain memperkasa sektor tenaga boleh diperbaharui melalui segmen tenaga biomas dan biogas yang berasaskan minyak sawit.

Negara telah menetapkan sasaran yang Malaysia bakal mencapai Negara Karbon Neutral 2050. Selain itu, negara juga akan memperkasa biogas dan biofuel yang berasaskan kepada minyak sawit.

Pengenalan terhadap pasaran karbon juga akan dirangka di dalam masa lima tahun akan datang. Ini amat memeranjatkan komuniti pertubuhan alam sekitar kerana tiada penjelasan yang lebih mendalam mengenai perlaksanaan dasar-dasar tersebut, sebaliknya hanya slogan-slogan yang bersifat retorik.

Oleh itu sebagai warga yang prihatin ingin bertanya kepada kerajaan apakah rancangan negara dalam menerapkan Perjanjian Paris 2015 dalam Rancangan Malaysia ke 12 selari dengan semangat perjanjian tersebut atau sekadar menyatakan komitmen tanpa sebarang usaha yang konkrit?

Bagaimana kita mampu untuk mentransformasi ekonomi negara dalam masa 5 tahun untuk lebih lestari dan mesra alam sedangkan negara masih bergantung kepada lebih 50 peratus penggunaan arang batu untuk penjanaan tenaga negara?

Apakah Petronas dan TNB bersedia untuk tranformasi kepada tenaga diperbaharui yang boleh memberi manfaat kepada ribuan usahawan tenaga solar dan seterusnya mengurangkan kadar tariff yang lebih rendah untuk meyeimbang kebergantungan kita pada gas asli dan arang batu yang jelas menguntungkan segelintir kecil rakyat Malaysia?

Mampukah taikun-taikun pengeluar tenaga bebas bersedia melepaskan loji janakuasa arang batu lebih awal dari tarikh luput loji kepunyaan mereka setelah membuat keuntungan berbillion ringgit saban tahun?

Adakah Felda dan syarikat perladangan yang lain mampu menggembleng usaha dalam penggunaan teknologi penyerapan dan penyimpanan karbon dalam masa mengurangkan kesan tapak kaki karbon di dalam amalan pertanian di seluruh ladang-ladang mereka?

Mampukah petani-petani kecil untuk menghadapai perubahan iklim yang bakal menjejaskan hasil tanaman mereka. Apakah rancangan kerajaan untuk melengkapkan petani dengan teknolog hijau dan lestari benar-benar berkesan untuk survival mereka?

Di dalam tingkap waktu kecil yang kita ada sekarang, kegagalan Malaysia menyertai senarai lebih 100 negara yang berjanji untuk menghentikan penebangan hutan menjelang 2030 dalam sidang COP26) 2021 ini cukup mengecewakan.

Dilaporkan, negara dalam senarai memeterai ikrar itu termasuk Indonesia, kuasa besar China, Amerika Syarikat dan Rusia manakala 28 negara komited untuk menghapuskan penebangan hutan daripada perdagangan global makanan dan produk pertanian lain seperti minyak sawit, soya dan koko.

Malaysia, berubah sekarang atau nanti kita hidup dalam kutukan anak cucu bangsa sendiri kerana membiarkan bumi terus panas kerana cinta kita pada emas hitam tidak pernah padam.


NIZAM DINAMIK ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS