Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sejak Umno tewas dalam PRU14 yang lalu, ramai mengharapkan mereka menyusun kembali kekuatan dan menjadi pencabar yang lebih baik di barisan pembangkang. Kerana mereka dibarisi bekas-bekas menteri yang mempunyai pengalaman mentadbir dan tahu selok-belok perjalanan kerajaan.

Penulis juga sempat membaca dan merujuk perlembagaan parti Umno dengan harapan kepimpinan dan ahlinya juga kembali kepada landasan perjuangan sebenar bagi memperbaiki organisasi dan pemahaman ahli-ahlinya dalam menentukan hala tuju mereka.

Kata orang, menilai semula atau “restore” atau dalam bahasa gajet disebut “factory setting” supaya semua yang tidak diperlukan itu dibuang dan kembali seperti sebuah gajet yang baru.

Perisian penting Umno adalah pada Fasal 3 perlembagaan (asas dan tujuan) mereka yang jika dilihat tidak pernah mangasuh ahli dan kepimpinannya untuk bertindak seperti mereka sekarang.

Antaranya, pada fasal 3.2 iaitu mendukung dan mempertahankan peerlembagaan negara, perlembagaan negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan.

Fasal 3.4 pula Umno memperjuangkan untuk mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Fasal 3.6 pula menyebut Umno bertujuan untuk mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Ketiga-tiga fasal ini adalah yang sangat relevan dan sangat sesuai untuk menjadi panduan kepada Umno dalam membuat keputusan dan tindakan pada ketika ini.

Umno tidak seharusnya terus dipandu oleh emosi dan ketakutan-ketakutan politik usang yang akan membataskan sifat inklusif parti kepada negara.

Jelas dan terang, apa yang berlaku pada hari ini menyentuh fasal-fasal yang terkandung dalam perlembagaan Umno sendiri; yang menyentuh soal asas dan tujuan Umno ditubuhkan.

Seluruh negara diperlihatkan bagaimana tindakan kerajaan sekarang yang diketuai Mahiaddin Yassin secara terang-terangan melanggar apa yang termaktub dalam perlembagaan negara dan mencabar sistem Raja Berperlembagaan sehingga menimbulkan krisis yang tidak sepatutnya timbul. Ingkar sehingga mengundang rasa teramat dukacita Yang di-Pertuan Agong kerana apa yang dititahkan baginda tidak dilaksanakan.

Ini sekali gus melanggar Fasal 3.2 Perlembagaan Umno.

Sistem demokrasi berparlimen yang terkandung dalam Fasal 3.4 perlembagaan Umno juga dilanggar oleh kerajaan yang ada pada hari ini.

Parlimen tidak lagi berfungsi seperti yang sepatutnya. Menyalahgunakan peraturan mesyuarat dan kuasa yang ada, hanya untuk menyelamatkan Perikatan Nasional daripada hilang kuasa.

Sedangkan rakyat mengharapkan sesuatu yang benar-benar serius dapat dicapai dalam menentukan resolusi terbaik dalam menentukan polisi untuk berdepan pandemik ini.

Jika menyentuh soal ekonomi rakyat, semua pihak sedar betapa situasi kini semakin teruk. Paling terjejas adalah orang-orang Melayu. Baik di bandar mahupun di luar bandar. Berapa ramai yang sudah hilang kerja dan sumber pendapatan. Graduan Melayu yang tamat pengajian menganggur kerana ekonomi kian menguncup.

Dalam keadaan sekarang, inilah masa terbaik untuk Umno menterjemah Fasal 3.6 yang digariskan dalam perlembagaan Umno dalam mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu dengan mengenepikan sentimen yang membunuh keupayaan Umno dalam menentukan hala tujunya demi rakyat terbanyak.

Justeru, Umno harus segera bertindak berdasarkan perlembagaan mereka dan melihat keperluan semasa dalam membuat tindakan. Bukan terkepung dengan pantang larang usang yang menjauhkan lagi Umno dengan rakyat.

Umno juga wajar mengungkai ketetapan-ketetapan politik dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu yang membataskan Umno untuk lebih berperanan dalam menyelesaikan masalah negara.

Justeru, Umno dilihat perlu kembali membuat keputusan berdasarkan perlembagaan Umno khususnya dalam Fasal 3 ini untuk kebaikan negara.


RAZAM RAMLI, seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS