Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haki Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Rakyat menyanjung tinggi usaha ke bawah duli Tuanku.

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakahtuh,

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.

Adalah dengan penuh homat dan takzimnya, patik merafak sembah dan berdoa ke hadrat Allah S.W.T semoga Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al- Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Tuanku Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj beserta seluruh kerabat-kerabat senantiasa berada di dalam keadaan sihat walafiat dan berada di bawah dilindungan Allah S.W.T

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.

Patik bersama sekalian rakyat merasa terharu dan berterima kasih dengan usaha Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI AlSultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam mendengar suara dan kebimbangan rakyat mutakhir ini.

Kesunggguhan Kebawah Duli Tuanku yang menggesa agar pihak kerajaan berusaha dan mencari jalan membawa keluar rakyat dari kemelut permasalahan kehidupan, sosial, ekonomi dan kesihatan amat melegakan semua pihak terutamanya golongan rakyat yang sedang bergelut dengan sumber pendapatan yang tidak menentu dan sebagainya.

Menerusi warkah dari Istana Negara yang mana patik dan sekalian rakyat yakin bahawa kandungan di dalam surat tersebut merupakan gambaran sebenar isi hati Kebawah Duli Tuanku. 

Patik percaya bahawa Kebawah Duli dan Majlis Raja-Raja sebenarnya telah menjalankan tanggungjawab sebagai payung yang menaungi rakyat jelata dan tidak akan sesekali terpalit dengan kegagalan kerajaan hari ini.

Rakyat sekarang sudah memahami bahawa “Darurat” yang Kebawah Duli zahirkan dalam perwataan, ia datang dari kerajaan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia bukan kehendak Kebawah Duli, malah Kebawah Duli Tuanku tidak mempunyai apa-apa bidang kuasa untuk menolak mengikut tafsiran YAB Perdana Menteri.

Rakyat juga mengerti dan memahami malah beranggapan bahawa tindakan Istana Negara menitahkan agar pemimpin parti-parti politik dan pakar-pakar datang mengadap Kebawah Duli Tuanku sebelum Majlis Raja-Raja bermesyuarat pada 16 Jun 2021 secara jelas ia adalah berkaitan dengan kegagalan kerajaan yang buntu mencari formula terbaik dalam menurunkan kadar jangkitan Covid-19 dan memastikan rakyat berganding bahu bersama mengharungi fasa kritikal ini.

Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.

Sedih dan marah yang dirasai oleh patik bersama sekalian rakyat membaca warkah istana semalam, di mana sepatutnya perdana menteri wajar akur dan patuh akan titah Kebawah Duli Tuanku. Namun segala titah Kebawah Duli Tuanku ditolak ke tepi seolah-olah fungsi dan peranan Raja Melayu yang dinobatkan penuh istiadat dan berdaulat ini tidak dipandang oleh kerajaan. Malah telah menjadikan peristiwa ini sebagai krisis perlembagaan yang besar.

Ketika di Istana Negara pada 1 Mac 2020 yang lepas, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membaca ikrar sumpah taat setia menjalankan tanggungjawab sebagai perdana menteri Malaysia di hadapan Kebawah Duli Tuanku, namun amanah tersebut disia-siakan begitu saja. Kepercayaan yang diberi, penderhakaan pula yang dibalas.

Malangnya suara Istana diketepikan di dalam soal pertimbangan sepatutnya untuk saling bekerjasama memperkasakan rakyat.

Niat ikhlas Kebawah Duli Tuanku dan Majlis Raja-Raja yang bertindak menaungi rakyat sudah disalah erti oleh YAB Tan Sri Muhyiddin, meskipun jangkitan Covid-19 melebihi 17,000 kes, kematian ratusan setiap hari, ekonomi entah bila boleh berkembang baik, rakyat hilang harapan.

Ini semua diketepikan demi ketamakan dan keangkuhan mempertahankan kuasa.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.

Patik bersama sekalian rakyat mendoakan agar Kebawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu terus dilindungi dan diberikan ketabahan untuk terus menaungi rakyat Malaysia tercinta. Rakyat teguh setia bersama Kebawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu.

Daulat Tuanku 

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.


MOHD RAZLAN RAFII ialah ahli Majlis tertinggi Umno

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS