Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Buat Khairy, menteri sains lulusan Oxford

Pada Disember tahun lalu, Malaysia digemparkan dengan berita Khairy Jamaluddin selaku menteri sains, teknologi dan inovasi terjatuh semasa berbasikal kerana melanggar lubang di sebatang jalan. Lalu tergolek dan terhumban masuk ke dalam parit. Alhamdulillah beliau hanya mengalami kecederaan ringan.

Akibat tragedi tersebut pelbagai berita tular, antaranya terdapat seorang wanita terkejut apabila basikal milik suaminya yang sama jenis dengan Khairy itu dikatakan berharga sebuah kereta Myvi sekitar RM45,000.

Tetapi berita yang paling menarik adalah betapa gelabahnya pihak JKR Kuala Langat sehingga dengan cekap, pantas dan efektif memohon maaf atas kejadian insiden tersebut dan memperbaiki segera lubang kecil di jalan raya yang mengakibatkan seorang menteri tergolek.

Mungkin Khairy telah lupa insiden tersebut. Jika musibah itu terpahat dalam ingatan beliau - bagaimana dia tercampak, tergolek dan terhumban ke dalam parit - pasti prestasi beliau dalam menguruskan hal vaksin sekarang ini tidak huru-hara dan memalukan.

Malangnya tindak tanduk Khairy tidak sama seperti JKR Kuala Langat. Mungkin masih tiada VIP, VVIP, kerabat atau, nauzubillah, ahli keluarga terdekat beliau meninggal kerana lambat menerima vaksin.

Sdr Khairy Jamaluddin, angka kematian akibat pandemik di Malaysia sedang meningkat dan diramalkan akan mencecah puluhan ribu seperti angka nilai basikal mewah anda. Allah SWT telah memberi peluang anda hidup kerana ada jutaan nyawa yang perlu anda selamatkan.

Bajet 2021 meluluskan RM3bilion, semasa itu Khairy mengatakan kos vaksin Malaysia lebih murah dari kos yang diperuntukkan negara Belgium. Beliau juga menambah pada ketika itu tempahan vaksin mencukupi.

Gambar hiasan

Tiba-tiba sewaktu parlimen tidak bersidang walaupun telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong untuk bersidang semasa tempoh ordinan darurat, Khairy meminta RM5 bilion lagi bagi program imunisasi kebangsaan dengan alasan kos meningkat.

Seperti kisah dahulu, Khairy menyalahkan kontraktor yang mengakibatkan Hospital di kawasan parlimen beliau tak siap-siap, kali ini Khairy hanya memohon maaf kerana kegagalan sistem pendaftaran laman web bawah kendaliannya. Ironinya, Khairy adalah menteri sains, teknologi dan inovasi.

Telatah beliau ini sama seperti menempah dewan dan makanan kenduri untuk 500 orang, tetapi Khairy jemput 5,000 orang. Apabila makanan habis tak cukup, orang marah, Khairy hanya menjawab:

"Saya tak sangka pula orang datang ramai macam ini, maaf ya!"

Lebih mengejutkan terbongkar sebenarnya beliau buat kenduri vaksin tempoh hari hanya untuk melihat respon rakyat Malaysia terhadap program vaksin.

Setelah itu tiada lagi kenduri vaksin selepas ini.

Khairy selaku graduan Universiti Oxford, juga sebagai menteri sains, sebenarnya memegang portfolio penting dalam membendung penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Memalukan, dengan ilmu dan pengalaman yang beliau ada cuma dapat menghasilkan Program Imunisasi Negara, itu pun ternyata gagal.

Bercakap mengenai sains, rakyat mahu lihat Malaysia menghasilkan vaksin sendiri, seperti Republik Islam Iran, walaupun ketika mendepani sekatan ekonomi dahsyat oleh rejim Amerika Syarikat.

Mujur Indonesia atau Thailand tidak menghasilkan vaksin sendiri, jika tidak sungguh memalukan.

Mengenai perihal teknologi, kegagalan kerajaan dalam persediaan melawan Covid-19 berpunca sistem teknologi data yang lemah.

Pusat kuarantin Maeps sebagai contoh, yang mulanya hanya untuk 600 orang, dilengkapi dengan pelbagai fasiliti canggih, kubikel tempat tidur selesa, malah siap dengan robot menghantar makanan! Tetapi akhirnya menjadi wad tentera di medan perang.

Ketiadaan teknologi data yang canggih akan menyebabkan ramalan dan unjuran tidak tepat, yang seterusnya akan membawa musibah besar.

Mengapa Khairy tidak mengambil contoh bagaimana negara Brunei mengekang penularan Covid-19. Memberi alasan negara Brunei kecil adalah suatu yang menyakitkan hati, yang mengundang kemarahan kerana Khairy adalah lulusan Universiti Oxford.

Adakah Khairy tidak tahu dan rasa bersalahkah apabila melihat semakin ramai anak-anak kecil dan warga tua di pusat kuarantin di Maeps dan pusat-pusat kuarantin lain menjalani kehidupan seperti di asrama?

Di mana perginya komitmen Khairy dan kesungguhan beliau seperti ditunjukkan sewaktu membuka pusat gym untuk kanak-kanak istimewa milik keluarga beliau yang gah dan canggih?

Anak-anak kecil dan warga tua di pusat kuarantin juga manusia yang ada emosi, yang memerlukan keselesaan seperti yang ada di gym kanak-kanak istimewa milik keluarga beliau.

Pada tahun 2020 kita bangga apabila kes menurun, tetapi sejak kegagalan demi kegagalan pentadbiran PN muncul, seolah-olah tidak serius memerangi Covid-19 agar darurat politik berpanjangan.

Berdasarkan siri TV Ertugrul berkaitan empayar Uthmaniah di Turki, sejarah membuktikan pengkhianat dan orang yang bersekongkol dengan pengkhianat tidak akan pernah berjaya, malah akan mendapat pengakhiran yang amat mengaibkan.

Mungkin inilah sebabnya orang bijak seperti Khairy ini dilihat gagal apabila bersama PN.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS