Pada 9 Syawal, umat Islam di seluruh dunia meraikan kejayaan pejuang Palestin dalam Peperangan Saif Al-Quds menentang rejim Zionis Israel.
Rakyat Palestin faham sangat dengan perangai Zionis Israel yang licik, jahat dan penuh tipu muslihat. Hari ni mereka rayu gencatan senjata, esok lusa mereka pasti akan meneruskan tradisi onar jahat mereka lagi ke atas umat Islam Palestin.
Tapi untuk ketika ini sekurang-kurangnya satu kemenangan moral dan maruah telah diperolehi oleh pejuang Palestin. Mereka telah berjaya membuka mata Israel dan dunia betapa mereka sangat bersedia untuk berjuang dan berperang demi mempertahankan Masjidil Aqsa.
Mereka berjaya benam ego dan keangkuhan Israel yang selama ini menganggap merekalah "abang besar" atau gangster yg boleh sewenang-wenangnya membuli rakyat Palestin.
Israel berbangga dengan kemenangan lampau mereka dalam medan peperangan. Dalam Perang 6 Hari 1967 misalnya, mereka dengan mudah mengalahkan tentera dari tiga negara Arab iaitu Jordan, Mesir dan Syria.
Israel sebelum ini sangat bongkak dgn sokongan dan perlindungan yang diperoleh dari Amerika Syarikat dan sekutu Yahudi lain. Hari ini sedikit sebanyak mereka tersentak.
Saya yakin gencatan senjata ini hanya helah bagi mereka menyusun semula strategi untuk terus membuli Palestin dan umat Islam. Pada masa yang sama saya juga percaya tentera Al-Qassam juga terus merancang dan membuat persediaan untuk medan pertempuran yang akan datang.
Kita tak perlu risau pasal kesiapsagaan warga Palestin, mereka tahu apa yang mereka perlu buat. Yang kita perlu tekankan adalah bagaimana kesatuan negara-negara islam khususnya di bawah naungan The Organisation of Islamic Cooperation (OIC) untuk buang sikap bacul dalam memperjuangkan kedaulatan Negara Berdaulat Palestin.
Sepanjang dua minggu peperangan berlangsung, OIC hanya membisu. Tidak ada pernyataan atau kecaman tegas dikeluarkan terhadap kebiadaban Israel. Tiada usaha serius untuk menyelaras bantuan kepada Palestin yang tertindas. Tiada tindakan konkrit bagi memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Israel berundur.
OIC seolah-olah tidak wujud. Sampai bila OIC nak jadi organisasi yang lembab dan lembik dalam memperjuangkan kesucian rumah ibadat ketiga terpenting bagi umat Islam ini? Jika OIC pun ambil lewa, janganlah mengharap PBB akan serius membela Palestin yang sentiasa tertindas ini.
Sudah tiba masa semua pemimpin negara Islam yang menganggotai OIC bertindak tegas dan ikhlas dalam memperjuangkan kedaulatan dan syiar Islam di bumi ini. Keberanian dan ketegasan Presiden Turki Recep Tayyip Erdoğan harus dicontohi, barulah OIC dihormati malah digeruni.
Signal yang diterima dari umat Islam dan pencinta keamanan dari seluruh dunia telah jelas menunjukkan kemarahan dan kecaman keras terhadap kebinatangan Zionis Israel. Namun tanpa tindakan politik yang rasmi dari negara-negara Islam khasnya dari OIC, selagi itulah musuh-musuh Islam ini akan terus berani membuli dan memperkotak-katikkan maruah dan kedaulatan umat Islam bukan sahaja di Palestin tapi di negara-negara lain juga.
Moga kejayaan 9 Syawal 1442H ini menjadi pencetus kebangkitan daulah dan kesucian Islam di seluruh dunia.
SHAFRY SALIM ialah timbalan pendaftar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.