Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP Johor Bil 2/21-24 yang diadakan pada 10 Mei 2021 menerusi aplikasi dalam talian Zoom telah bersetuju secara prinsip dengan lima agenda dasar dalam kerangka kerja DAP di negeri ini. Saya telah diamanahkan sebagai penyelaras untuk mendapatkan pandangan dan cadangan dari ahli-ahli DAP, rakan-rakan seperjuangan dan masyarakat awam.

Jawatankuasa Negeri DAP Johor akan bertemu pada hujung bulan Jun untuk menentukan program terperinci bagi tahun 2021-2022 selepas meninjau dan meneliti pandangan dan cadangan yang diterima.

1. persiapan menuju pilihan raya

Persiapan menghadapi pilihan raya umum merangkumi persediaan jentera, petugas pilihan raya seperti polling agent dan counting agent (Paca), gerak kerja akar umbi dan strategi kempen dalam kerangka norma baharu. DAP juga menyasarkan untuk

menambah bilangan kerusi DUN dan Parlimen menerusi proses perundingan bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan Johor dengan menjadikan formula 'boleh menang' sebagai pertimbangan utama. Kerjasama antara rakan-rakan PH adalah kunci kejayaan dalam PRU-15.

2. Persediaan lengkap mentadbir kerajaan

DAP dan Pakatan Harapan telah berpengalaman mentadbir kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri hasil kemenangan dalam PRU-14 yang lalu. Kemampuan, kecekapan dan keberkesanan ahli-ahli parlimen, Adun , mantan ahli ahli majlis, mantan ketua-ketua kampung serta masyarakat dan akar umbi DAP Johor telah terbukti sepanjang tempoh PH menjadi kerajaan. Malah selepas pengkhianatan Langkah Sheraton dan krisis wabak Covid-19 yang membelenggu rakyat, kita tetap berkhidmat untuk masyarakat.

DAP Johor juga akan mempergiatkan lagi usaha penyediaan dan perbincangan dasar yang lebih komprehensif dan berkesan untuk negeri Johor khasnya dan Malaysia umumnya. Perundingan dengan pemegang taruh dan masyarakat madani akan diberikan tumpuan.

3. Wadah Pelbagai Kaum

Sejak ditubuhkan 55 tahun lalu, DAP memilih untuk menjadi sebuah parti politik untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau gender. Ia menolak jalan mudah untuk menjadi wira kaum. Pendekatan inklusif ini telah menjadikan DAP sebagai parti pilihan untuk semua rakyat, khususnya sejak 2008. Lebih banyak usaha diperlukan untuk meluaskan matlamat ini. Dengan semangat muhibah dan amalan “Demokratik.Adil.Peduli”, DAP mampu menjadi wadah untuk semua Bangsa Johor dan anak Malaysia dalam masa yang terdekat ini.

4. Transformasi parti – daripada 'kedai runcit' kepada 'pasar raya besar'

Sejak 2008, DAP bukan lagi sebuah parti kecil yang hanya tahu membangkang. Dengan pengalamannya menjadi kerajaan di pelbagai peringkat, DAP kini merupakan sebuah parti arus perdana. Di Johor, DAP dalam proses meningkatkan kemampuannya untuk mengendalikan organisasi dan gerak kerja dengan lebih berkesan. DAP Johor akan meningkatkan kemampuannya dalam pengurusan digital dan media baharu bagi memastikan urusan parti bergerak dengan lebih pantas dan efisien sebagai sebuah organisasi tersusun.

DAP Johor akan terus meningkatkan usaha pemerkasaan parti melalui retreat, latihan dan kursus supaya kita lebih bersedia mentadbir kerajaan yang mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat, tidak akan terperangkap dalam diskriminasi amalan ‘antara dua darjat’, dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran politik dan pentadbiran.

5. DAP pilihan anak muda dan wanita

Di samping kepelbagaian kaum yang inklusif, DAP Johor kini bergerak ke arah menjadi parti pilihan utama anak muda dan wanita. Dalam pemilihan parti DAP Johor baru-baru ini, lima pemimpin wanita dipilih oleh akar umbi untuk menganggotai satu pertiga jawatankuasa negeri. DAP Johor juga bangga mempunyai tiga daripada lima ahli parlimen dan tujuh daripada 14 ADUN DAP Johor yang berumur bawah 40 tahun sewaktu dipilih dalam PRU ke-14 lalu. Usaha menumpukan kepada anak muda dan wanita bukan sahaja akan diteruskan sehingga PRU15, malah akan menjadi salah satu agenda utama pasca-PRU15.


SHEIKH UMAR BAGHARIB BIN ALI ialah naib pengerusi DAP Johor merangkap penyelaras Agenda Baharu DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS