Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Kudeta Myanmar: Tuntutan artis kepada menteri luar M'sia

Ke hadapan Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Kami, Transnational Coalition for the Arts atau Transnation — sebuah gabungan dengan lebih 45 organisasi artis serta individu di Malaysia serta di luar negara – mendesak agar kerajaan Malaysia mengambil langkah tegas bagi membendung keganasan tentera di Myanmar.

Sejak bermulanya kudeta tentera pada 1 Februari 2021, lebih 750 orang awam sudah terbunuh. 

Junta tentera, diketuai oleh Jeneral Min Aung Hlaing, tidak menunjukkan sikap menghormati hak asasi.

Penunjuk perasaan tanpa senjata dipukul dan dibunuh, anak-anak kecil serta pekerja kesihatan ditembak, rumah dan sekolah dibom tanpa dipedulikan.

Walaupun berdepan keganasan tentera, rakyat Myanmar meneruskan protes terhadap kudeta, yang jelas menandakan bahawa junta tentera tidak mempunyai keabsahan politik mahu pun keutuhan moral.

Oleh yang demikian, kami menggesa kerajaan Malaysia serta Asean sepatutnya menyatakan tuntutan bagi menghentikan keganasan tentera Myanmar, menghentikan hubungan dengan junta tentera, serta memperakui dan bekerjasama terus dengan Kerajaan Perpaduan Nasional yang ditubuhkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Pyidaungsu Hluttaw (CRPH).

Malaysia, selaku anggota pengasas Asean, mempunyai kapasiti untuk meredakan keadaan bagi memastikan keselamatan serantau.

Kami terkesan dengan kurangnya komitmen dari Asean bagi menghentikan perilaku ketidakmanusiaan ini saatnya peluru terus ditembak serta rakyat Myanmar terus merana dan hidup dalam ketakutan.

Persetujuan lima perkara yang dicapai di Persidangan Asean yang diadakan pada 24 April 2021 di Jakarta, tampaknya tidak memberi kesan.

Diplomasi tanpa campur tangan sesungguhnya menemui kegagalan.

Sementara kami memuji tuntutan dari kementerian anda yang menuntut agar “keganasan dihentikan serta-merta, tanya syarat serta pembebasan secepat mungkin semua tahanan politik, serta meneruskan dialog inklusif melibatkan semua pihak yang terlibat bagi sebuah peralihan yang aman terhadap krisis yang berterusan dengan Myanmar dan rakyatnya menjadi keutamaan”, kami beranggapan kenyataan ini tidak lagi mencukupi.

Dengan mengambil kenyataan dari Dr Sasa (Menteri Kerjasama Antarabangsa NUG serta utusan CRPH) serta Tom Andrews (Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), hanya tindakan yang jelas dan tegas dapat menyelamatkan Myanmar.

Kami menggesa pihak kerajaan agar menjayakan respon yang lebih tersusun bagi menamatkan krisis, serta mendukung dan mengetuai usaha berkenaan ke arah:

  • Menyokong tuntutan untuk mengenakan embargo senjata api global yang menyeluruh ke atas Myanmar;
  • Menarik balik semua pelaburan awam di Myanmar, serta tidak menggalakkan pelaburan swasta di Myanmar oleh syarikat-syarikat berdaftar di Malaysia melalui peruntukan fiskal strategik;
  • Untuk berurusan terus dengan NUG serta mendukung Piagam Demokrasi Persekutuan serta hala tuju bagi membentuk kerajaan yang demokratik dan inklusif;
  • Mengecam junta tentera serta menuntut pegawai tentera untuk diadili ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan.

Kami menantikan dengan penuh harapan bagi menerima respon positif serta keputusan bijak bagi menjamin keselamatan rakyat di Myanmar dan serantaunya.


TRANSNATION ialah gabungan lebih 45 organisasi artis serta individu di Malaysia serta di luar negara.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS