Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Isu 'Tuhan': DBP membisu, masyarakat bersuara

Isu berkaitan tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mensyaratkan penggunaan “Tuhan” (huruf besar) hanya bagi orang Islam dan merujuk hanya kepada Allah, manakala bukan Islam hanya layak menggunakan “tuhan” (huruf kecil) semakin mendapat reaksi orang ramai.

Malangnya, DBP hanya membisu selepas mengeluarkan kenyataan “DBP jawab persoalan istilah Tuhan” (Malaysiakini, 20 April 2021). Seperti saya tegaskan dalam balasan bertajuk “Penulis tolak penjelasan DBP isu ejaan tuhan” (Malaysiakini, 21 April 2021), jawapan dan alasan yang cuba diberi DBP tidak dapat diterima akal rasional.

Lalu, beberapa individu lain turut tampil berkongsi pandangan yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan licik DBP yang dianggap sengaja cuba memperlekeh dan menghina hak penganut bukan Islam menggunakan kata “Tuhan” mengikut amalan agama masing-masing semasa menulis dalam Bahasa Malaysia.

Uthaya Sankar SB

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengambil inisiatif mengumpul pandangan masyarakat pelbagai kaum dan agama secara dalam talian (online). Sehingga pukul satu tengah hari, 28 April 2021, sejumlah 975 orang mengemukakan pandangan dan komen.

Hampir 99 peratus responden “membantah dan tidak bersetuju dengan pendirian DBP” dalam isu penggunaan “Tuhan” bagi orang Islam dan “tuhan” untuk Bukan Islam. Mereka juga mahu “DBP keluarkan kenyataan memohon maaf dan melakukan pembetulan dalam Kamus Dewan, Kamus Dewan Perdana, antologi Meredah Kabus, dan semua terbitan akan datang”.

Saya mengirim surat rasmi kepada ketua pengarah DBP pada 16 April 2021 untuk mengatur pertemuan bersemuka bagi merungkai masalah ini demi mencari penyelesaian terbaik. Walau bagaimanapun, sehingga ulasan ini ditulis, belum ada apa-apa maklum balas daripada pihak DBP.

Sementara itu, orang ramai sudah mula mempersoalkan makna yang terkandung dalam baris “rahmat bahagia Tuhan kurniakan” dalam lagu Negaraku serta prinsip “Kepercayaan kepada Tuhan” dalam Rukun Negara. Jika kata “Tuhan” itu hanya merujuk kepada Allah seperti ditegaskan DBP, perlukah dua versi Negaraku dan Rukun Negara disediakan bagi orang Islam dan bukan Islam?

Tindakan subversif DBP dalam memperalatkan bahasa dan istilah bagi menghina dan memperlekeh hak beragama umat bukan Islam adalah bertentangan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Kegagalan DBP memberi penjelasan yang rasional dan diterima akal juga membuktikan tindakan menukar “Tuhan” kepada “tuhan” dalam antologi Meredah Kabus (2021) dilakukan secara penuh sedar oleh DBP dengan niat jahat menghina orang Bukan Islam di Malaysia.

Kita mendapati DBP bersandar kepada Kamus Dewan (2005) dan Kamus Dewan Perdana (2020) terbitannya sendiri untuk menegakkan benang yang basah. Sebenarnya, catatan dalam kedua-dua kamus berkenaan juga perlu dibetulkan kerana tidak tepat dalam mendefinisi “Tuhan”.

Malah, ada percanggahan yang jelas apabila kedua-dua kamus itu dirujuk. Misalnya, “Tuhan” (huruf besar) didefinisi sebagai “Allah yang mencipta alam semesta”. Definisi berciri Islamik itu selaras kenyataan ketua pengarah DBP bahawa “Tuhan” adalah kata nama khas yang merujuk kepada Allah Yang Maha Esa.

Sekiranya kedua-dua kamus itu disemak, perkataan “sembahyang” (berasal daripada “Sembah Sang Hyang Tunggal” dalam budaya Hindu) diberi definisi “perbuatan menyembah Allah” dan “(bagi orang bukan Islam) permohonan kepada Tuhan, doa”.

Maka, Kamus Dewan terbitan DBP yang dijadikan rujukan dan dalil oleh DBP untuk mewajarkan diskriminasi agama dalam isu “Tuhan” itu sendiri mengakui “Tuhan” (huruf besar) boleh digunakan dalam konteks umat bukan Islam.

Ternyata DBP sudah tidak ada alasan untuk meneruskan agenda subversif memperlekeh umat bukan Islam dengan menghalang penggunaan “Tuhan” (huruf besar). Sebagai sebuah badan berkanun yang berwibawa dan bertanggungjawab, DBP perlu segera memohon maaf secara berhemah dan melakukan pembetulan.

DBP juga digesa melakukan pembersihan menyeluruh (spring cleaning) yang ditakrif oleh DBP sendiri sebagai “proses membersihkan keseluruhan kawasan dalam dan luar rumah atau sesuatu tempat dengan baik dan sempurna, termasuklah bahagian yang tidak selalu dibersihkan”.

Tindakan ini penting bagi memastikan segala anasir jahat dan subversif yang berada dalam DBP dikeluarkan dan DBP kembali kepada objektif asal sebagaimana terkandung dalam Akta 213 (Akta Dewan Bahasa dan Pustaka).


UTHAYA SANKAR SB ialah pengasas Kumpulan Saserawan Kavyan (Kavyan) iaitu gabungan penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS