Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Surat
SURAT | Darurat gagal atasi Covid-19, bantutkan tugas MP

Kami amat kesal dengan pergantungan parlimen sehingga hari ini, tatkala darurat yang dikatakan adalah untuk menangani wabak Covid-19, namun kes jangkitan semakin tidak terkawal.

Bila parlimen tidak dibenarkan bersidang, ahli parlimen di 222 kawasan tidak dapat berbahas untuk mencari pendekatan terbaik menghadapi jangkaan golombang ke-empat Covid-19.

Ternyata darurat gagal mengatasi wabak ini. Darurat telah membantutkan tugas ahli parlimen berbahas sehingga keputusan eksekutif kini tidak disemak imbang di dewan legislatif.

Soalnya keputusan kerajaan tidak dapat disemak terutama yang menyentuh soal perbelanjaan wang negara.

Sedangkan wakil rakyat sepatutnya bersidang tetapi ternyata mereka yang dipileh rakyat untuk memutuskan pelbagai isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat dan urusan pentadbiran negara, tidak dibenarkan menjalankan tugas paling asas iaitu berbahas di parlimen.

Sangat menghairankan kenapa Perdana Menteri mengambil jalan mengelak adanya persidangan parlimen. Di manakah ruginya jika para ahli Dewan Rakyat bersidang untuk membincangkan masalah negara yang semakin meruncing sekarang?

Jika benar negara berada di ambang kritikal ketika pandemik terus meningkat dan kewangan negara semakin berkurangan, bukankah ini masanya ahli parlimen segera bersidang?

Alasan bahawa darurat ini bukan kerana politik tidak lagi dapat diterima. Darurat yang gagal mengurangkan kes Covid-19 kini menjadi tanda tanya, untuk apa parlimen terus digantung ?

Wakil Rakyat berkewajipan bersidang untuk memecah kekusutan yang melanda sekarang.

Kami mengesa parlimen segera bersidang tanpa lengah.

Situasi kritikal seperti ini tidak boleh menghentikan proses demokrasi parlimen yang wajip dipertahankan.

Tidak kurang negara diseluruh dunia menghadapi lonjakkan kes Covid-19 , tetapi proses pilihanraya dan parlimen terus berjalan.

Kami mengesa parlimen bersidang segera demi memastikan pelbagai isu negara dapat dibahas dengan menyeluruh.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS