Pagoh adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam lipatan sejarah di negeri Johor dan Malaysia amnya.
Pagoh juga cukup dikenali kerana di sinilah wakil rakyatnya yang merupakan perdana menteri kelapan Muhyiddin Mohd Yassin.
Siapa sangka Pagoh tahun ini usianya hampir melebihi 533 tahun. Dan sudah semestinya usia berabad ini menyimpan 1,001 kisah dan lipatan sejarahnya.
Catatan mengenai sejarah Pagoh ini agak kurang didapati. Ia hanya tercatit serba sedikit dalam beberapa naskhah agung seperti Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
Setakat ini, masih tiada lagi mana-mana penulis menulis secara terperinci tentang Pagoh yang merangkumi sejarah, budaya, tokoh dan warisan tempat ini.
Tidak dinafikan sebelum ini ada beberapa penulis sejarah menulis tentang Pagoh secara am terutamanya berkaitan perjuangan orang Melayu menentang Portugis.
Antara penulis berikut ialah RO Winstead (History of Johor: 1365-1895), Leonard Y Andaya (Kingdom of Johore: 1641-1748), Haji Buyong Adil (Sejarah Johor), Abdul Shukor Ismail (Sejarah Ringkas Muar), Haji Saad Dahlan (Kejatohan Kota Pagoh), Haji Aris Tahir (Catatan Sepanjang Sungai Muar) dan Abdul Malek Munip (Bandar Maharani dan Daerah Muar 1884-1920).
Tahun 2021, satu lembaran baru dalam catatan Sejarah Pagoh apabila seorang anak jati Pagoh, Azman Abdul Rahim yang telah berkerat keringat bertahun-tahun lamanya menghasilkan sebuah naskhah yang dikira sangat berharga untuk bumi Pagoh iaitu buku Merungkai… Sejarah Pagoh.
Buku ini dihasilkan dengan berpaksikan niat murni iaitu menjadi rujukan generasi kini dan akan datang serta melahirkan perasaan jati diri dalam kalangan masyarakat terutama anak Pagoh itu sendiri.
Usaha penulis dengan dibantu oleh rakan-rakan menghasilkan buku ini boleh dianggap perintis atau garis mula dalam pengkajian sejarah Pagoh yang lebih mendalam pada masa akan datang.
Buku ini boleh dianggap sebagai salah satu sumber rujukan penting kepada sesiapa yang mahu mencari informasi tentang Pagoh.
Hal ini kerana, apa yang terkandung dalam buku ini tidak hanya semata-mata tertumpu pada sejarahnya tetapi juga menyentuh dari sudut lain iaitu budaya, politik, tokoh tempatan, ekonomi dan sosial.
Penekanan secara holistik menjadikan buku ini istimewa kerana ini adalah pertama kali penulisan tentang Pagoh disentuh secara terperinci dan menyeluruh.
Penulis merangkumkan fakta pelbagai sumber ke dalam buku ini bertujuan memudahkan rujukan terhadap Pagoh mudah pada masa akan datang.
Secara keseluruhan kandungan buku ini dibahagikan melalui garis masa iaitu pembukaan awal, era pascamoden, era penjajahan Jepun, era darurat dan era moden.
Selain itu, turut diselitkan tentang Bahasa orang sungai Muar dan tokoh-tokoh dari Pagoh.
Pekan pencen
Kandungan gambar-gambar yang padat dapat menarik minat bagi sesiapa yang membacanya dan membantu pembaca memahami apa yang sedang dibaca.
Penyusunan jalan penceritaan seperti ini menjadikan buku ini mudah difahami bagi sesiapa sahaja yang membacanya terutama para pelajar yang mahu membuat kajian tentang sejarah tempatan (Pagoh).
Buku ini wajib dimiliki oleh orang ramai dan tentu sekali menyasarkan kepada anak Muar amnya dan anak jati Pagoh khasnya.
Naskah ini dijamin dapat membuka minda serta tanggapan bahawa Pekan Pagoh yang selama ini dilihat sebagai pekan pencen sebenarnya sarat dengan peristiwa penting dalam garis masa pensejarahan tanah air.
Selain itu, buku ini juga boleh membantu para pelajar dan pengkaji sejarah yang memerlukan bahan yang mudah untuk dirujuk kerana kesemuanya sudah dikompilasikan.
Ilmu sejarah boleh diibaratkan akar tunjang kukuh yang menampung dahan rimbun meninggi. Setinggi manapun kita tetapi jika tiada nilai jati diri, rugilah kita sebagai manusia ini.
Harapan selepas terbitnya buku ini, mungkin terbitan ini dapat dijadikan batu loncatan kepada lebih banyak lagi kajian terhadap Pagoh.
Malah, pihak berwajib juga dapat membuka mata bahawa nilai sejarah, warisan dan budaya yang ada di Pagoh ini dapat diangkat lebih tinggi, turut juga boleh dijadikan tarikan perlancongan warisan.
Secara tidak langsung, ini juga dapat meningkatkan sektor ekonomi tempatan.
Akhir kalam, buku Merungkai… Sejarah Pagoh adalah satu hasil usaha yang membanggakan dan sangat bermanfaat untuk semua.
Kompilasi lengkap ini telah mengangkat dan meletakkan Pagoh ke satu sudut yang sangat istimewa dalam negeri Johor khasnya dan tentunya dalam Malaysia.
MUHAMMAD SYARIFUDDIN MD SUKOR adalah pegawai tentera di batalion ke-10 Rejimen Sempadan merangkap anggota jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Muar (PSMKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.