Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT| Wartakan Bukit Persekutuan sebagai tapak pemuliharaan, rekreasi, warisan

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mengucapkan tahniah kepada Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar Kuala Lumpur (KL) dan kakitangan beliau kerana meminta maklum balas mengenai draf Pelan Struktur KL 2040. Dialog terbuka ini membolehkan orang awam dan pihak yang berminat seperti MNS untuk berkongsi pandangan.

MNS mencadangkan agar Bukit Persekutuan diwartakan secara formal, dan dijadikan tapak pemuliharaan, rekreasi, dan warisan bertaraf dunia. Ia turut menyumbang kepada matlamat Pelan Pembangunan Masyarakat Berkarbon Rendah Kuala Lumpur untuk tahun 2030. Inisiatif pemuliharaan ini akan membawa bandar raya KL jauh ke hadapan dengan kos yang rendah.

Cadangan perdana menteri untuk menanam 100 juta pokok di seluruh Malaysia adalah dialu-alukan dan sangat terpuji. MNS turut mengucapkan tahniah kepada usaha masyarakat Taman Tun Dr Ismail memperoleh pewartaan 274.3 ekar Taman Persekutuan Bukit Kiara. Kami juga amat berbangga dengan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini untuk menolak perintah pembangunan 2017 dan menjadikan Taman Rimba Kiara sebagai sebuah paru-paru hijau.

Cadangan MNS untuk mewartakan Bukit Persekutuan adalah sehaluan dengan pembangunan hijau negara. Ia akan melengkapkan sebagai penyambungan zon pelancongan semula jadi dengan jaringan taman hutan yang menghubungkan Taman Tasik, Taman Tugu, Taman Rama-rama dan Taman Burung, serta Carcosa Seri Negara dan Dataran Merdeka - yang kesemuanya mudah diakses dari KL Sentral.

Sebagai Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) tertua di Malaysia, MNS mempunyai sejarah yang lama di Bukit Persekutuan, dengan adanya ibu pejabat di Jalan Kelantan. MNS bersama-sama NGO dan pertubuhan lain, telah memperkayakan Bukit Persekutuan dengan projek penanaman pokok semenjak bertahun-tahun dulu.

Inisiatif ini membawa kepada pelancaran projek Think City untuk Hutan Komuniti Bandar (UCF) Bukit Persekutuan pada bulan Julai 2017. Antara yang dijemput dan hadir dalam pelancaran ini ialah Mahadi Che Ngah (datuk bandar sekarang dan bekas pegawai perancang eksekutif Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur ), Nor Akhirrudin Mahmud (ketua pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia), presiden dan anggota Kanan Majlis MNS dan Lembaga Pemegang Amanah.

Dalam salah satu tinjauan 2016, MNS telah mengenal pasti 234 spesies pokok daripada 82 keluarga. Antara penemuan menarik adalah shorea glauca, pohon dipterocarp yang terancam mengikut IUCN Red List; dan Tetrastigma curtisii, salah satu tuan rumah bagi spesies bunga rafflesia. Para saintis Sabah telah berjaya menyuntik tetrastigma spp dengan benih Rafflesia. Oleh itu, potensi menjadikan rafflesia berbunga di tengah-tengah Kuala Lumpur, adalah kenyataan!

Tinjauan MNS juga menunjukkan kehadiran 53 spesies burung, baik penduduk mahupun yang berhijrah. Ini mengesahkan bahawa kawasan itu adalah tempat perlindungan burung serta koridor migrasi yang penting. Tinjauan juga menemui banyak fauna lain seperti. rama-rama, amfibia, mantid; yang menunjukkan UCF Bukit Persekutuan adalah ekosistem lengkap dengan sendirinya.

MNS telah membina lima denai pendidikan di UCF Bukit Persekutuan: Denai Heritage, Denai Thurnbergia, Denai Jungle Fowl, Denai Cempedak dan Denai Pulai telah digunakan secara aktif (sebelum MCO) untuk tujuan rekreasi dan pendidikan oleh sekolah, penduduk tempatan Bangsar dan Bukit Bandaraya. MNS juga telah mengadakan khidmat interpretasi flora dan fauna yang terdapat di denai-denai tersebut kepada orang awam.

UCF Bukit Persekutuan adalah penyerap karbon yang penting dan bertindak sebagai penapis udara bersih, serta sistem penyejukan bio semulajadi yang boleh menyumbang kepada penurunan suhu bandar serta mengurangankan tompok-tompok panas akibat peningkatan suhu yang disebabkan perubahan iklim.

Memandangkan ketinggian tertinggi di Bukit Persekutuan adalah 110m dari permukaan laut, ia seharusnya diklassiifikasikan sebagai "tanah bukit". UCF yang merupakan hutan sekunder yang matang melindungi kawasan bersebelahan daripada ancaman banjir, hakisan dan tanah runtuh, terutama jika adanya kes pembangunan yang tidak sesuai.

Sungai Bras-Bras yang terletak di belakang ibu pejabat MNS di Bukit Persekutuan, tidak pernah kering. Ini merupai satu-satunya mata air antara semua pusat kajian oleh projek River of Life, yang dikelolakan oleh Jabatan Saliran dan Pengairan. Ia juga merupakan satu-satunya mata air yang terletak di ibu kota dunia. Aliran ini membantu mengurangkan kekeringan di bukit itu sendiri dan meningkatkan penurunan suhu di bandar sekitar bandaraya KL.

Bukit Persekutuan adalah juga simbolik dari segi kebudayaan dan sejarah, dengan adanya tiga buah istana hinggap (istana satelit) yang merangkumi rumah kerajaan Kedah, Negeri Sembilan dan Perak. Konsep "Bukit Persekutuan" memperingati pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, yang membawa kepada kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957. Jalan-jalan dinamakan sempena negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, dan Perlis. Sri Galeria Perdana pernah menjadi kediaman rasmi bagi beberapa perdana menteri. Kuarters kerajaan di sini yang merupakan rumah penjajah sebelum kemerdekaan, boleh dipulihkan untuk kegunaan NGO dan berbagai institusi, taman asuhan kanak-kanak serta bank benih dan tapak semaian yang dapat menyokong aktiviti perkebunan dalam Komuniti Bandar.

Bukit Persekutuan dengan sendirinya lengkap dengan bangunan ikonik yang merupakan sebahagian daripada sejarah negara kita, dan menjadi contoh Hutan Komuniti Bandar yang boleh dijadikan kawasan rekreasi dan pelancongan bertaraf dunia, setanding dengan Taman Hyde di London dan Central Park di New York.

Persatuan Pencinta Alam Malaysia amat mengharapkan respons positif terhadap rayuan kami untuk mewartakan Bukit Persekutuan. Ini akan menjadi satu langkah gergasi ke arah mencapai Taman Kota Warisan, yang menjadi permata dan kebanggaan Kuala Lumpur serta Malaysia, amnya.


Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS