Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SURAT | Saya bersekolah di Selangor, peperiksaan percubaan SPM kami telah ditangguhkan akibat penutupan sekolah yang disebabkan oleh kenaikan kes Covid-19.

Anehnya, mereka menutup sekolah apabila bilangan kes berada di bawah angka 1,000 sebelum ini, padahal kini bilangan kes meningkat dengan lebih 4,000 kes, seperti dilaporkan pada 16 Januari 2021 dan sesi persekolahan masih akan diteruskan untuk calon-calon SPM 2020.

Maka terdapat persoalan yang timbul. Adakah kami merupakan adiwira yang dapat menentang Covid-19 atau kalis Covid-19?

Hal ini membimbangkan saya kerana kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji untuk SPM. Sebahagian besar daripada kami mengambil sembilan atau lebih mata pelajaran untuk SPM. Masa yang tinggal hanyalah dua hingga empat minggu bagi membuat persiapan, jika mengambil kira yang dua minggu pertama setelah sekolah dibuka digunakan untuk percubaan SPM.

Sebahagian daripada kami langsung tidak mempunyai kelengkapan untuk kelas-kelas yang dijalankan mahupun mendapat akses pembelajaran dalam talian. Di samping itu, kami akan melambatkan pengajian tingkatan-tingkatan bawah sekiranya SPM 2020 ditangguhkan sekali lagi.

Saya sudah lelah dengan pembelajaran secara dalam talian. Saya telah memperoleh keputusan yang baik sebelum ini, dan kini saya khuatir bahawa keputusan sebegitu mungkin tidak akan diperoleh untuk SPM ini kerana amat sukar untuk mengulang kaji di rumah.

Sedangkan lepasan SPM sebelum ini dapat mengadakan sesi pembelajaran secara bersemuka bersama-sama guru tanpa perlunya risau dijangkiti penyakit. Tambahan pula, mereka mendapat masa tambahan di sekolah disebabkan oleh kelas tambahan yang diadakan di sekolah.

Guru boleh berinteraksi dan mencelah secara langsung sewaktu itu kerana mereka dapat melihat riak wajah murid-murid semasa mengajar, tetapi hal tersebut tidak dapat dilaksanakan buat ketika ini.

Contohi UK kendalikan peperiksaan GCSE

Setelah mengambil kira perkara-perkara yang dinyatakan, saya telah memberi cadangan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengusulkan cara SPM 2020 dapat dijalankan dengan adil bagi sebilangan besar daripada kami serta tidak memerlukan pelaburan wang yang terlalu besar untuk menjalankannya.

Perhatian saya tertarik dengan cara negara United Kingdom mengendalikan isu ini. Peperiksaan GCSE mereka adalah setaraf dengan peperiksaan SPM, maka berikut adalah cadangan-cadangan saya.

Langsungkan peperiksaan percubaan SPM di negeri yang masih tidak melaksanakannya atau tidak sempat menghabiskan akibat penutupan sekolah. Apabila sudah selesai, guru menanda dan memberikan keputusan peperiksaan kepada murid.

Seterusnya, berdasarkan beberapa bukti, guru memberikan gred ramalan SPM 2020 kepada murid. Ini boleh diguna pakai sebagai gred SPM 2020. Bukti-bukti tersebut akan diperiksa oleh pihak atas untuk mengelakkan ketidakadilan dan penyelewengan berlaku.

Jika terdapat murid yang tidak berpuas hati dengan gred yang diberikan oleh guru mereka, maka mereka boleh mengambil SPM seperti biasa (semua atau sebahagian subjek), ini membuatkan SPM sebagai pilihan dan bukannya wajib.

Menjangkakan bahawa tidak ramai calon yang tidak berpuas hati dengan gred ramalan, penjarakan sosial yang lebih baik boleh diadakan untuk SPM 2020 yang sekarang telah menjadi pilihan. Hasilnya, kita dapat mengekang jangkitan Covid-19 dengan lebih baik.

Saya pasti bahawa guru-guru lebih mengenali murid mereka, maka wajarlah jikalau gred tersebut diberikan oleh guru mereka sendiri.

Saya mengambil inspirasi daripada cara United Kingdom menyelesaikan masalah tersebut, di mana pihak Ofqual membatalkan GCSE Jun 2020 dan memberi calon-calon gred ramalan yang diserahkan oleh guru-guru mereka, manakala calon-calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan mereka dapat menduduki peperiksaan GCSE bagi sesi yang seterusnya, iaitu pada bulan November tahun lepas.

Saya ingin menjelaskan bahawa markah peperiksaan percubaan tidak semestinya diambil secara langsung sebagai gred ramalan kerana terdapat laporan bahawa sesetengah kertas percubaan adalah lebih sukar berbanding yang lain, namun perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi isu kerana Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM)dapat meneliti dan 'menyerdahanakan' kertas-kertas tersebut.

Tetapi saya kira ini sebagai kes terpencil kerana soalan percubaan sepatutnya digubal dengan aras kesukaran yang telah ditetapkan oleh pihak LPM (merujuk kepada nisbah R:S:T).


Muhammad Izz Irfan merupaka  calon SPM 2020 dari SMK Hillcrest.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS