Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Pejuang Muda mengambil maklum dua kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin dan Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Muhammad Shakir Ameer berhubung gesaan agar semua parti-parti di blok pembangkang agar kembali semula ke meja rundingan dan membina momentum baharu dalam satu entiti menghadapi kerajaan PN, serta persiapan ke arah pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Pejuang Muda mengalu-alukan sikap rasional pimpinan muda dalam parti politik yang bertindak sebagai pengimbang antara ketegasan pimpinan utama parti dan realiti akar umbi yang melihat kepimpinan parti-parti pembangkang gagal menunjukkan kekuatan yang sebenar apabila menolak untuk duduk bersama dalam membuat sesuatu keputusan secara tuntas.

Oleh yang demikian, Pejuang Muda menetapkan bahawa kami terbuka untuk menyokong apa-apa perundingan atau usaha bagi menubuhkan sebuah pembangkang yang berpadu (united opposition) sama ada dalam Dewan Rakyat mahupun dalam menghadapi PRU-15 kelak.

Di samping itu, watak-watak perwakilan baru dan segar seharusnya ditampilkan bagi menerajui perbincangan dan rundingan tersebut bagi mewakili setiap parti dengan tokoh-tokoh senior semua parti harus kekal sebagai kumpulan penasihat utama.

Kesudian dan jiwa besar tokoh-tokoh senior parti dalam memberikan laluan ini amat penting dan sangat dihargai kerana salah faham mahupun halangan yang wujud pada ketika ini tidak seharusnya memperjudikan masa depan politik baharu Malaysia dan aspirasi golongan muda.

Pejuang Muda berkeyakinan bahawa tokoh-tokoh senior semua parti akan menyambut baik pelawaan untuk kembali ke meja rundingan ini.

Pada waktu ini, Malaysia memerlukan barisan pembangkang yang kukuh lagi kuat dalam menyelamatkan negara dari kegagalan pentadbiran PN dan dapat mengelakkan tanah air ini dari terus dikuasai kumpulan kleptokrat yang tiada integriti sehingga pengamal korupsi digugurkan dari pendakwaan sewenang-wenangnya.


ABU HAFIZ SALLEH HUDIN ialah ketua sayap pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS