Paling Popular
Terkini

Semenjak sebulan lalu ramai telah berbicara tentang gerakan Muda semenjak Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyebut untuk melancarkan sebuah parti anak muda tidak kira dari kalangan ahli politik, golongan aktivis dan masyarakat khususnya.

Namun begitu, timbul desas-desus mengatakan gerakan Muda itu sendiri sudah lama muncul semenjak sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu. Muda adalah sebuah NGO yang bertapak di Johor dan diasaskan oleh sekumpulan anak muda Johor demi mengangkat suara anak muda merentasi parti politik.

Menurut salah seorang penggerak gerakan Muda Johor, Nor Mohamad Shawaludin Muda sudah bertapak semenjak tahun 2018 dan telah berdaftar di bawah ROS sebagai salah sebuah pertubuhan aktivis negeri Johor. Namun begitu kekesalan mereka bukan kerana nama “Muda” tetapi kerana logo persatuan tersebut hampir sama 100% dengan baju Muda yang dipromosikan oleh Syed Saddiq itu. Sejujurnya saya tidak pasti adakah itu logo parti tersebut kerana parti itu baru sahaja berdaftar semalam.

Barangkali ketidakpuasan hati NGO tersebut kerana rekaan baju yang seakan-akan sama menyebabkan mereka bengang. Saya menyarankan supaya Syed Saddiq memohon maaf kepada pihak NGO Muda Johor kerana ia membabitkan hak cipta orang lain lebih-lebih lagi isu plagiat ini sangat sensitif malah seperti tidak menghormati hak orang lain.

Jika parti anak muda ini benar ingin membawa idea yang segar dan bernas sewajarnya anak muda juga perlu duduk semeja dan berunding jika terdapat konflik membabitkan kalangan anak muda. Muda yang seperti digambarkan Syed Saddiq bersifat “politik baru” seharusnya isu plagiat ini tidak wajar berlaku kerana ia terang-terangan adalah politik “cara lama”. Jangan sampai parti Muda digelar parti muda pada nama sahaja tetapi masih menggunakan cara lama.

Sejujurnya saya menyambut baik usaha Syed Saddiq yang melancarkan parti anak muda yang berbentuk inklusif dan merangkumi pelbagai kaum tetapi saya tidak bersetuju jika sesuatu rekaan plagiat hasil rekaan anak muda lain dan dijadikan hak milik parti anak muda yang dilancarkan oleh beliau. Saya melihat ketidak-adilan berlaku apabila hasil rekaan orang lain ditiru begitu sahaja tanpa memberi kredit kepada penggerak gerakan asal.

Saya berharap gerakan NGO Muda (Millenial Union Democratic Alliance) dan parti Muda (Malaysian United Democratic Alliance) itu sendiri dapat mencapai kata putus dan bekerjasama ke arah Malaysia yang lebih baik. Sebagai anak muda yang mewakili parti politik sedia ada sendiri saya merasakan anak muda perlu bekerjasama merentasi parti politik itu sendiri dan menggunakan wadah sedia ada sebaiknya tanpa meniru langkah ahli politik terdahulu. Perkataan “maaf” tidak membuatkan kita kalah tetapi lebih bermaruah. Salam muda.


YUSLAINI AZMI ialah ketua Biro Pemuda PKR (AMK) Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS