Pihak pengurusan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) ingin memberi pencerahan dan penjelasan kepada pelbagai dakwaan dan tuduhan berkaitan dengan skim pengesahan pendudukan tanah yang diuruskan oleh pihak syarikat.

“Syarikat pengurusan mempunyai prestasi kewangan yang lemah”

Kelemahan prestasi kewangan yang didakwa sebenarnya merujuk kepada Royal Pahang Durian Produce Sdn Bhd (RPDP), pemilik ladang durian seluas 1,000 ekar di Tras, Raub, Pahang.

Liabiliti yang ditunjukkan adalah jumlah hutang kepada pemegang saham. Pemegang saham telah menyuntik dana persendirian kepada syarikat sebagai pinjaman dengan tempoh matang selama enam tahun.

Maka, syarikat masih belum mempunyai hasil jualan dan pendapatan. RPDP menjangkakan pendapatan pertama pada tahun 2022. Pelaburan pemegang saham jelas mencerminkan kekuatan kewangan RPDP.

Malahan, RPDP juga telah diberikan status pengecualian cukai selama 10 tahun dari Kementerian Kewangan pada tahun 2019.

“Tiada pekebun yang menyokong skim pengesahan”

Buat masa ini, kira-kira 300 petani telah mendaftar dengan RPDR-PKPP di mana 133 daripadanya telah membuat pengesahan dan sebahagiannya telah membayar wang perolehan sebanyak RM1,000 /ekar (sehingga RM10,000 bagi setiap pemohon yang melebihi 10 ekar tanah).

Baki Wang Perolehan (berdasarkan keputusan akhir juruukur berlesen) hanya perlu dibayar setelah menandatangani perjanjian akhir dengan RPDR-PKPP. 

Pembayaran Wang perolehan ialah mengikut ketetapan oleh Kerajaan Negeri Pahang. 

“Levi berjumlah RM20,000/ekar terlampau tinggi”

RM20,000/ekar (RM10/kg x 2,000kg) merupakan jumlah siling maksimum yang akan diterima oleh RPDR-PKPP (syarikat skim pengesahan). Bayaran ini akan dikeluarkan oleh Royal Pahang Durian Export Sdn Bhd (syarikat perdagangan).

Tiada penalti sama sekali jika pekebun tidak dapat memenuhi sasaran pengeluaran seperti dalam terma. Sebagai contoh, jika pekebun hanya dapat menghasilkan 1,000 kg/ ekar atau kurang, RPDR-PKPP hanya akan menerima RM10,000 / ekar atau kurang.

RPDR-PKPP sebagai syarikat skim pengesahan mempunyai tugas memantau dan memastikan agar pekebun tidak:

  • melakukan pencerobohan yang berpanjangan;

  • menyebabkan pencemaran alam sekitar yang berlarutan;

  • mengingkari syarat pematuhan pensijilan MyGAP

RPDR-PKPP harus menanggung kos operasi tahunan tetap yang merangkumi kos pentadbiran, kos kakitangan lebih 150 orang, pengawasan lokasi untuk perlindungan alam sekitar, pemantauan satelit untuk mengekang pencerobohan lebih lanjut, kos permohonan dan penyelenggaraan pensijilan MyGAP, kos sewa, penilaian, cukai tanah dan sebagainya.

“Kadar sewaan RM6,000/ekar seperti yang didakwa oleh pihak SAMKA”

RPDR-PKPP ingin menegaskan bahawa ini ialah bayaran satu kali sahaja bagi tahun 2020. Bayaran ini hanya terpakai untuk tanaman durian matang pada kiraan 30 pokok/ekar.

Sebagai balasan, pekebun dibenarkan untuk memasarkan durian mereka secara terus di pasaran terbuka sepanjang tahun 2020 sehingga 31hb Mei 2021.

Keperluan untuk menjual durian kepada Royal Pahang Durian Export Sdn Bhd hanya akan berkuat kuasa bermula 1hb Jun 2021 (permulaan skim pengesahan pendudukan tanah).

Untuk meringankan lagi beban kewangan pekebun seperti yang dipohon, RPDR-PKPP telah bersetuju dengan kaedah bayaran ansuran sama rata sebanyak tiga kali bayaran pada bulan September 2020, Disember 2020 dan Mac 2021.

RPDR-PKPP menegaskan bahawa kadar harga belian yang dicadangkan untuk durian Musang King gred A sebanyak RM30/kg ialah munasabah.

Dengan kiraan kebun berkeluasan 10 ekar dan pengeluaran hasil durian Musang King gred A sebanyak 2000kg/ekar, pekebun dijangkakan menerima pendapatan kasar minimum sebanyak RM600,000.

Berdasarkan penilaian oleh pihak bebas, dengan kos pengeluaran sebanyak RM8/kg, pekebun boleh menjangkakan nisbah keuntungan lebih dari 200% (Rujuk kepada capaian muat turun infografik di bawah untuk penjelasan bergambar).

RPDR-PKPP sentiasa terbuka untuk perbincangan dengan pekebun yang masih belum mendaftar dengan skim pengesahan pendudukan tanah dan menggesa mereka untuk tampil ke hadapan.

Infografik penjelasan skim pengesahan pendudukan
Infografik penjelasan harga diladang
Infografik penjelasan pensijilan MyGAP
Penjelasan praktis pertanian lestari RPDR-PKPP


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS