Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aksara membetuk perkataan, ideologi membentuk prinsip, demikian juga presiden membentuk organisasinya.

Seperti yang diketahui, esok bakal diadakan pemilihan presiden kepada Dewan Negara. Ramai di antara kita kurang cakna dengan dewan ini, saban hari yang menjadi bualan dan perbincangan jelata adalah dewan rakyat.

Sebuah institusi yang dianggap actor penting di dalam memastikan pentadbiran negara ini berjalan dengan lancar.

Namun demikian, perlu kita sedari, dan perlu kita ketahui bahawasanya di sebalik “kemeriahan” dewan rakyat, di sana terdapat satu lagi institusi yang boleh mengangkat wadah perjuangan rakyat, iaitu Dewan Negara.

Mengulas mengenai presiden Dewan Negara, penulis tidak boleh mengelakkan diri daripada berbincang mengenai seorang sosok yang pernah membantu penulis di dalam kembara mengenali dengan lebih lanjut sistem politik di dalam negara ini.

Walaupun penulis merupakan seorang pelajar sains politik, perbahasan dan perbincangan mengenai sistem politik ini adalah perbincangan harian di dalam dewan kuliah dan waktu lapang bersama rakan sepengajian.

Namun layaknya seorang rakyat biasa, pendedahan terhadap Dewan Negara dan potensinya untuk menjadi sebuah institusi yang lebih baik daripada Dewan Rakyat adalah kurang.

Di atas sebab itulah, pada penulisan kali ini akan ada sedikit perkongsian mengenai Dewan Rakyat, mengapa ia perlu kepada reformasi, dan ia perlu kepada individu yang mempunyai prinsip moral politik yang tinggi bagi memastikan Dewan ini mampu untukk mencapai potensinya.

Individu yang bertanggungjawab mengajar dan memberikan latihan kepada penulis adalah salah seorang daripada calon presiden Dewan Negara iaitu Senator Yusmadi Yusoff.

Yusmadi Yusoff

Jika dicari nama beliau di atas talian, perkara pertama yang muncul pastinya berita mengenai pertubuhan Kaukus Dewan Negara.

Mana tidaknya, beliau merupakan pengerusi kepada Kaukus Dewan Negara yang bergerak di dalam satu pasukan mencari titik pertemuan melalui perbincangan dengan wakil rakyat tentang bagaimana untuk memastikan Dewan Rakyat dapat berfungsi sebagai sebuah ejen semak dan imbang sesuai dengan tujuannya ditubuhkan prakemerdekaan.

Roh dan perjuangan yang dibawa oleh Dewan Rakyat sebelum wujudnya Kaukus Dewan Negara adalah lemah, sehinggakan Dewan Negara yang sepatutnya menjadi badan bebas di dalam menilai rang undang-undang (RUU) yang dibawa oleh Dewan Rakyat, hanya sekadar persinggahan sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Reformasi Dewan Negara

Yusmadi melalui perbincangan dan perbualan kami sepanjang penulis menjalani latihan industri (internship) bersama beliau sering mengingatkan tentang betapa pentingnya reformasi Dewan Negara ini di dalam memastikan pendemokrasian di Malaysia dapat dicapai sepenuhnya.

Penulis berasa terkesan ketika membaca laporan reformasi Dewan Negara di dalam buku“Menzahirkan Reformasi Dewan Negara”.

Di dalam buku tersebut dijelaskan secara terperinci mengenai keperluan menambah baik aspek-aspek tertentu Dewan Negara.

Demikianlah definisi reformasi, dan prinsip yang dibawa oleh YB Senator. Di atas kesempatan ini, baiklah kiranya penulis kongsikan beberapa pengalaman sepanjang menjalani latihan industri bersama beliau.

Di awal perbincangan kami, perkara pertama yang beliau usahakan adalah supaya kami memahami roh dan semangat penubuhan Dewan Negara.

Tanpa penulis sedari, penulisan dan penerangan mengenai Dewan Negara adalah sangat minimum.

Sejarahnya penubuhannya, pelantikan speaker, kuota yang berevolusi dari tahun 1957 sehinggalah kini, dan bidang kuasa ahlinya, adalah sangat minima.

Melalui perbincangan bersama dengan YB senator, dapat penulis memahami tentang fungsi sebenar Dewan Negara yang selama ini ditafsirkan sebagai badan yang kurang signifikan.

Di dalam menyentuh mengenai sejarah Dewan Negara, YB Senator juga acapkali mengulangi betapa roh dan semangat penubuhan Dewan ini sudah hilang, dan perlu kepada reformasi yang sebenar bagi memastikan fungsinya dikembalikan.

Di atas sebab itulah penulis cuba untuk mencari dan membaca dengan lebih lanjut mengenai Dewan Negara, terutama usaha untuk membawa perubahan kepada institusi ini.

Dari awal kemenangan PH lagi, YB Senator konsisten di dalam usahanya untuk membawa agenda reformasi Dewan Negara ini, yang akhirnya membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Reformasi Dewan Negara (JRDN).

Jawatankuasa ini secara langsung terlibat dengan penyelidikan bersama-sama dengan beberapa agensi penyelidikan, pensyarah, dan ahli akademik di dalam memastikan laporan yang mereka keluarkan bermutu dan bersifat objektif dengan satu matlamat utama iaitu menambah baik institusi Dewan Negara itu sendiri.

Jawatankuasa ini juga dipengerusikan oleh Yusmadi sendiri. Di dalam perbincangan sepanjang latihan industri bersama dengan Yusmadi, beliau sering mengulas mengenai kepentingan reformasi dan bersungguh untuk membawa perubahan kepada Dewan Negara yang dianggap penting untuk memastikan demokrasi di Malaysia terus subur.

Sepanjang latihan bersama beliau, penulis sering diajak berbincang mengenai cadangan-cadangan untuk menambah baik institusi Dewan Negara. Keterbukaan beliau menerima cadangan daripada penulis menandakan bahawa perjuangan reformasi yang dibawa oleh beliau bukanlah satu perjuangan politik semata-mata, namun ia dilakukan bersandarkan kepada prinsip dan moral sebagai seorang senator yang menginginkan perubahan.

Kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen

Di antara usaha reformasi yang paling signifikan kepada penulis adalah mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

Akta ini dimansuhkan pada tahun 1992, dan mengurangkan kebebasan institusi Parlimen dengan meletakkan campur tangan pentadbiran kerajaan di dalam urusan parlimen.

Akta ini hendak dikembalikan, namun ia perlu kepada penambahbaikan. Demikianlah yang diterangkan kepada penulis sepanjang latihan bersama dengan beliau.

Mengembalikan akta semata-mata tidak akan mengubah apa-apa melainkan akta tersebut diperbaharui sesuai dengan konteks semasa.

Di antara aspek yang ingin ditambah baik adalah penubuhan Jawatankuasa Penelitian Rang Undang-undang. Hal ini dapat merupakan suatu perkara yang rasional dan demokrasi.

Setiap RUU perlu bermula dari parlimen, biarlah parlimen yang memutuskan sama ada ingin dicadang ataupun tidak sebarang RUU yang ingin dibentangkan.

Usaha beliau di dalam membawa perubahan kepada Dewan Negara tidak boleh dianggap remeh. Satu lagi cadangan yang penulis rasakan cadangan yang baik adalah penubuhan jawatankuasa pemilihan yang bersifat meneliti isu-isu tertentu yang dibangkitkan di dalam dewan negara.

Perbahasan di Dewan Negara adalah terhad, dan kemampuan senator untuk mendalami dan membahaskan isu juga terhad, berbanding dengan Dewan Rakyat.

Terdapat isu yang dibangkitkan, namun dibiarkan tenggelam tanpa sebarang penelitian. Seakan-akan memberi gambaran bahawa Dewan Negara tidak kompeten di dalam meneliti isu-isu tertentu.

Hal inilah yang ingin diubah dan dibawa penambahbaikan oleh Yusmadi. Beliau berpandangan bahawa pentingnya sesuatu isu itu diteliti, dan berfokus supaya hasil penelitian boleh dibahaskan semula dan memberi input kepada mana-mana kementerian yang berkait.

Dewan Negara seharusnya tidak meletakkan limitasi kepada kepentingan isu, namun perlu bertindak proaktif di dalam memastikan Dewan Negara dapat bergerak sebagai satu badan berkecuali pada masa hadapan, tanpa berpaut kepada mana-mana parti politik.

Penulis ingin menyimpulkan tulisan dengan membawa pembaca menyelami semangat reformasi yang dibawa oleh Yusmadi Yusoff.

Sekiranya reformasi ini terlaksana, nescaya sistem demokrasi di dalam negara ini akan kembali subur dan berkembang.

Rakyat tidak perlu hanya berharap kepada sidang Dewan Rakyat untuk membela nasib mereka, namun mereka juga boleh mengharapkan agar Dewan Negara menjadi sebuah badan yang menjanjikan semak dan imbang terhadap Dewan Rakyat dengan prinsip berkecuali yang penulis nyatakan di atas.

Roh dan semangat penubuhan Dewan Negara perlu dikembalikan untuk memastikan masih ada lagi harapan melihat demokrasi yang subur di Malaysia, selepas kita dihidangkan dengan salah guna kuasa oleh politikus di atas “takhta”.

Penulis berharap agar jawatan presiden Dewan Negara tidak jatuh ke tangan orang yang salah, terutama ke atas tangan-tangan yang tidak mahukan perubahan dan antireformasi.


MUHAMMAD JUUMAYRI MAHRUNI ialah pelajar sains politik, UKM.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS