Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia for Syria (MFS) dengan kerjasama Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), MyFundAction dan juga KitaFund telah melancarkan kempen kemanusiaan Peduli Lubnan rentetan daripada tragedi letupan besar yang sehingga kini telah mengorbankan tidak kurang daripada 200 orang dan mencederakan lebih 6,000 orang.

Tujuan utama kempen ini dilaksanakan adalah untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dan juga sebagai tanda solidariti dan kebersamaan rakyat Malaysia dengan rakyat Lubnan dalam menghadapi waktu-waktu yang sukar.

Umum maklum bahawa Lubnan telah menjadi ‘rumah’ kepada lebih 1.3 juta pelarian Palestin dan Syria semenjak bertahun lamanya.

 Di dalam masa yang sama, NGO Malaysia juga turut komited menghulurkan bantuan saban tahun kepada pelarian-pelarian ini.

Justeru kami menilai, Lubnan yang sudah sedia terbeban dengan keadaan ekonomi yang kian parah, pada waktu sebegini memerlukan dokongan semangat dan juga bantuan dari seluruh pelosok dunia.

Atas semangat itu MFS mengambil inisiatif untuk menggerakkan usaha ini dan disambut baik oleh rakan-rakan NGO seperti GPM, MVM, MyFundAction dan juga KitaFund.

Sejumlah RM200,000 telah berjaya dikumpulkan bagi bantuan fasa pertama hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui NGO-NGO yang terlibat.

Pasukan misi kemanusiaan seramai empat orang telah berlepas ke Lubnan pada awal pagi 13 Ogos 2020 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pasukan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFS, Syahrir Azfar Saleh ini dijangka akan berada di Lubnan selama dua minggu bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas dalam bentuk sokongan perubatan, baik pulih infrastruktur serta bantuan makanan.

Kami percaya bahawa usaha ini memerlukan sokongan daripada semua atas nama kemanusiaan dan dengan rendah hatinya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan agar misi ini dapat mencapai matlamat dan objektifnya.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi pejabat MFS di talian 03-41443441 atau hotline MFS di 0192553441. Untuk berhubung dengan pasukan di lapangan: +6013 222 6057 (Syahrir).


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS