Paling Popular
Terkini

Sebelum saya meneruskan tulisan ini, satu persoalan besar perlu bermain dalam minda kita ialah berapakah level patriotisme anda? 

Kajian lepas menunjukkan level patriotisme rakyat Malaysia berada di tahap sederhana iaitu pada mata 3 dan 4 daripada markah penuh 5.

Sebenarnya, ada banyak aspek perlu dilihat sebelum menilai tahap patriotisme. 

Namun, saya mahu mencubit perasaan anda daripada satu aspek yang kelihatan kecil sahaja, iaitu bendera nasional Jalur Gemilang.

Baru-baru ini saya menulis teks kepada Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa. Saya katakan kepadanya bandar raya Kuala Lumpur kurang patriotik. 

Apabila orang luar masuk ke Kuala Lumpur, mereka mungkin berbangga atau takjub dengan bangunan pencakar langit seperti bangunan berkembar KLCC serta bangunan baru PNB dan Tun Razak Exchange.

Namun begitu, bandar raya Kuala Lumpur tipikalnya hampir serupa sahaja seperti bandar raya lain seperti Jakarta, Manila, Bangkok dan Singapura. 

Tidak ada kekaguman yang mendalam. Tetapi apabila kita menjejaki bandar raya lain seperti Washington, New York, Ankara atau Beijing kita akan terpesona dan kagum melihat bendera nasional mereka berkibar megah walaupun di kala hujan turun dengan lebat.

Manakala di Kuala Lumpur tidak nampak bendera nasional Jalur Gemilang berkibar megah, mempersona dan memberi kekaguman. 

Kerana bendera utama di Dataran Bandar raya KL kelihatan agak kecil dan sekali pandang tidak memberi kesan yang mendalam kepada rakyat. 

Mungkin kecilnya Jalur Gemilang itu maka kecil jugalah jiwa-jiwa rakyat Malaysia tiada kekaguman.

Kedua, apabila hujan turun kebanyakan Jalur Gemilang tidak lagi berkibar atau melekat kerana basah. Barangkali kualiti Jalur Gemilang itu dibuat daripada kain murah dan tidak berkualiti. Semasa di Amerika Syarikat, saya terpegun kerana ketika hujan saya menyaksikan bendera Amerika Syarikat masih berkibar megah dan bunyi kainnya boleh didengar memukul-mukul ketika ditiup angin hujan.

Kedua, saya perhatikan tiang bendera utama di bandar raya KL juga agak rendah, kurus, kecil dan warnanya pudar. 

Berbanding di Ankara dan Washington, kita boleh lihat daripada jauh bendera nasional berkibar megah. Apabila dekat, kita perhatikan tiangnya diukir indah dan warnanya tidak dibiar pudar.

Jika daripada daripada aspek bendera nasional pun kita sudah kurang semarak, bagaimanakah kita hendak menyemarakkan semangat Patriotisme melalui bendera Jalur Gemilang jika kita tidak bersungguh-sungguh?

Ingatlah kepentingan bendera di kala zaman perang dahulu. Di medan perang, sahabat nabi bersungguh-sungguh mempertahankan bendera pasukan, tidak membiar ia jatuh di tanah. Mereka berusaha menaikkan dan mengibarkannya, jika tangan luka, mereka pertahankan gunakan tangan sebelah, jika luka lagi dipertahankan guna lengan demi menunjukkan semangat perjuangan pasukan mereka masih ada dan tidak tewas.

Sebagai kesimpulan, saya ingin mencadangkan supaya setiap ibu negeri dan bandar raya utama negara kita, perlu ada mercu tanda nasional identiti. 

Satu-satunya mercu tanda yang boleh dilihat dari jauh ialah bendera Jalur Gemilang yang berkibar di atas sebatang tiang yang gagah perkasa. Ia tidak lusuh ketika hujan, ia tidak pudar apabila didekati sebaliknya ia sentiasa berkibar megah, indah dan menusuk jiwa kita sedalam-dalamnya.

Itulah jua maksud patriotisme iaitu Cinta yang mendalam kepada negara yang satu.


DR AL-AZHARRI SIDDIQ KAMUNHARI merupakan penceramah dan penulis dasar-dasar kerajaan dalam bidang patriotisme, keselamatan negara, perpaduan nasional dan pembinaan negara bangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS