Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya mewakili pihak kepimpinan pusat, ahli akar umbi dan para calon yang bertanding dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya di bahagian Klang, menafikan sekeras-kerasnya segala dakwaan dalam sidang media oleh mantan calon ketua bahagian Bersatu Klang Syed Abdillah Abd Aziz pada 8 Ogos 2020 lalu, kononnya Bersatu bahagian Klang telah dibubarkan.

Bersatu bahagian Klang masih wujud dan kini bebas daripada anasir-anasir penghasut, pentaksub dan pemfitnah. Alhamdulillah.

Tiada seorang pun ahli atau pemimpin dalam parti ini yang berada lebih atas daripada apa yang termaktub dalam perlembagaan parti serta undang-undang negara.

Keputusan mahkamah pada 7 Ogos 2020 lalu merupakan bukti nyata bahawa segala keputusan yang telah diambil oleh pihak Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti secara musyawarah selama ini adalah menepati perlembagaan parti serta perundangan negara.

Tiada mana-mana pihak boleh mengisytiharkan pembubaran mana-mana bahagian atau cawangan dalam parti Bersatu ini yang telah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) kecuali atas arahan pusat yakni MPT.

Apatah lagi jika yang melaungkan pembubaran tersebut masih lagi berstatus calon dalam pemilihan dan tiada watikah sebarang pelantikan rasmi untuk sesi baru.

Saya juga ingin menegaskan bahawa MPT merupakan badan tertinggi pembuat dasar parti yang bertanggungjawab menentukan hala tuju parti sepanjang tahun kerana perhimpunan agung tahunan (agm) dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) hanya bersidang pada waktu-waktu tertentu sahaja.


Dr MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap calon timbalan ketua Bersatu bahagian Klang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS