Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Hormati keputusan mahkamah, institusi kehakiman negara

Semua pihak menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak mahkamah.

Sudah pasti segala keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukkan undang-undang yang telah lama wujud dalam negara kita yang telah dirangka berpandukan Perlembagaan Persekutuan negara.

Ini susulan keputusan kes Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang melibatkan bekas perdana menteri Mohd Najib Abdul Razak yang telah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan yang meliputi salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan itu selepas selesai membaca penghakimannya selama dua jam.

Pertuduhan telah dibuat bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Kanun Keseksaan serta Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Keputusan yang telah dibuat oleh pihak Mahkamah Tinggi terbabit telah menerima pelbagai reaksi daripada pihak dalam negara mahupun dari luar negara kerana kes terbabit melibatkan salah seorang individu penting.

Apa jua reaksi yang diberikan, adalah penting bagi semua pihak untuk bertenang serta menghormati keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah bagi terus menjamin kestabilan serta keyakinan masyarakat terhadap institusi undang-undang serta kehakiman negara.

Sudah pasti keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah berdasarkan bukti-bukti serta keterangan yang telah diberikan dalam tempoh perbicaraan.

Ini juga disokong dengan segala penghujahan yang telah dilakukan oleh pihak guaman yang pakar dengan bidang masing-masing.

Kanun Tatacara Jenayah atau Kanun Prosedur Jenayah atau lebih dikenali sebagai Akta 593 adalah suatu peruntukan perundangan yang menjadi panduan terutamanya dalam kes-kes jenayah untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

Prosedur perundangan jenayah akan bermula daripada pelaporan sesuatu kejadian jenayah kepada pihak polis, penyiasatan dan proses perbicaraan di mahkamah sehingga pelaku jenayah dihukum dengan setimpalnya atas perbuatan mereka.

Walaupun bilangan kes dihadapkan ke mahkamah semakin hari semakin meningkat namun bukan semua daripada kes-kes ini akan berakhir dengan sabitan.

Tertuduh mungkin akan disabitkan dengan kesalahan dan menerima hukuman yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

Terdapat juga kes tertuduh akan dilepaskan kerana tidak mempunyai bukti yang cukup, relevan serta menyakinkan bagi mencapai standard atau tahap pembuktian yang diperlukan sesebuah kes.

Daripada segi undang-undang hanya terdapat dua standard atau tahap pembuktian, iaitu melampaui keraguan munasabah untuk kes – kes jenayah manakala ia adalah melampaui imbangan kebarangkalian untuk kes-kes sivil.

Sekiranya, pihak yang telah didapati bersalah tidak berpuas hati terhadap keputusan yang telah ditetapkan, undang-undang negara kita juga membenarkan mereka untuk untuk membuat proses rayuan di peringkat mahkamah yang seterusnya.

Dalam negara kita, mana-mana pihak yang ingin mengemukakan rayuan boleh merayu ke Mahkamah Rayuan hingga ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi.

Institusi kehakiman merupakan salah satu institusi yang penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi termasuklah Malaysia.

Fungsi mahkamah adalah untuk menegakkan keadilan untuk semua pihak.

Bagi memastikan sistem kehakiman berjalan dengan baik, institusi mahkamah akan memproses keadilan berjalan dengan saksama berlandaskan undang-undang sedia wujud tanpa mengira siapa juga yang diadili.

Ini penting untuk kepercayaan orang ramai terhadap kewibawaan mahkamah sentiasa dipertahankan.

Di mana-mana negara yang bertamadun dan mengamalkan sistem demokrasi semua pihak akan sentiasa mengharapkan pihak mahkamah melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas dan berkecuali serta yang paling penting tanpa berasa bimbang.

Oleh yang demikian,penting bagi semua pihak memberi kepercayaan serta sokongan penuh kepada institusi kehakiman dan menghormati institusi kehakiman itu sendiri.

Sebarang ketidakpuasaan terhadap sesuatu keputusan atau perkara bolehlah disalurkan melalui proses peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan berdasarkan prinsip- prinsip perlembagaan yang telah diikuti semenjak negara kita merdeka pada tahun 1957.


DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS