Bilangan individu yang hilang pekerjaan dilaporkan meningkat dua kali ganda setiap bulan sejak penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Menurut Kementerian Sumber Manusia, seramai 1,791 orang hilang kerja pada Mac, dan angka ini meningkat lebih dua kali ganda kepada 4,127 orang pada April.
Angka itu meningkat lagi dua kali ganda pada Mei apabila 7,195 orang hilang pekerjaaan, dan meningkat lagi dua kali ganda pada Jun dengan 19,352 hilang pekerjaan.
Setakat ini, seramai 36,196 orang di bawah 1,377 majikan telah hilang pekerjaan mereka. Angka-angka ini adalah amat membimbangkan.
Angka-angka ini dilaporkan media pada 21 Julai lalu.
Bayangkan, jika seorang ketua keluarga itu kehilangan pekerjaan, apakah nasib tanggungannya?
Setiap hari, makanan tetap perlu dihidangkan di atas meja, bil-bil tetap perlu dibayar dan hidup mesti diteruskan.
Inilah kerunsingan mereka. Bebanan yang ditanggung oleh penganggur-pengganggur baharu ini perlu diringankan.
Malah, masalah pasaran pekerjaan bukan hanya melibatkan pengangguran dan kehilangan kerja.
Bagi yang bekerja, pendapatan bulanan mereka terancam. Sebagai contoh dalam sektor pembuatan, 10.6 peratus daripada responden bagi satu kaji selidik mengatakan gaji mereka telah dipotong.
Kajian tersebut diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan pada bulan April 2020.
Sebab itu, mantan menteri kewangan, Lim Guan Eng berpendapat, benteng yang lebih kukuh perlu didirikan dalam mendepani situasi ekonomi yang kian memburuk.
Salah satu langkah itu menurutnya, adalah untuk melanjutkan moratorium ke atas pembayaran pinjaman selama enam bulan lagi.
Beliau memberitahu, nilai moratorium bayaran balik pinjaman kira-kira RM55 bilion itu juga tidak mencukupi dan harus digandakan.
Selain itu, ahli parlimen Bagan tersebut turut mencadangkan agar kerajaan menaikkan jumlah rebat elektrik sekurang-kurangnya sekali ganda kepada RM154 sebulan berbanding RM77 sekarang.
Cadangan-cadangan praktikal bagi membantu rakyat ini dilihat penting terutama dalam menyediakan satu bentuk 'kusyen' kepada mereka yang terkesan.
Rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) pastinya akan berasa sedikit lapang sekiranya cadangan-cadangan itu dapat direalisasikan.
Dalam erti kata lain, pelanjutan moratorium dan pertambahan rebat elektrik akan memberi kita sedikit 'ruang untuk bernafas' buat masa ini.
Kita turut mengambil maklum kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, bahawa kerajaan sedang meneliti beberapa pendekatan bersama bank tempatan untuk membantu golongan sasar apabila tempoh moratorium pinjaman bank berakhir September depan.
Sehubungan itu, kerajaan diharap dapat berbincang dengan Bank Negara dan sektor perbankan secara amnya dalam memastikan seramai mungkin mendapat faedah daripada moratorium tersebut.
Ini penting, dalam memastikan negara dapat bangkit daripada pandemik Covid-19 rakyat dalam masa sama perlu bersama bangkit seiring dengannya.
B SUFFIAN ialah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.