Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Kerajaan harus pertahan hak wanita dalam penyertaan awam dan politik

KRYSS Network mengutuk keganasan dan gangguan berdasarkan gender dalam talian yang telah ditujukan kepada para peserta Parlimen Digital dan menyeru agar kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah serius untuk mempertahankan hak-hak penyertaan awam dan politik secara saksama untuk semua, terumatanya bagi para wanita dan gadis.

KRYSS Network berasa kagum dengan penyertaan para belia dalam "Parlimen Digital".

Sebuah acara yang dianjurkan oleh Undi18, Challenger Malaysia dan Liga Rakyat Demokratik pada 4 dan 5 Julai yang lalu.

Banyak masalah yang dirasai oleh orang muda masa kini yang tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan Malaysia dipaparkan dalam acara tersebut.

Para belia mempunyai hak untuk mengemukakan pelbagai isu dan mereka mempunyai hak bersuara yang dilindungi di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, para peserta telah diperlekehkan oleh sebilangan penonton yang membangkitkan isu kelayakan mereka.

Walau bagaimanapun, penganjur acara tersebut telah menjelaskan bahawa acara itu adalah untuk menunjukkan bahawa secara teknikal prosiding.

Parlimen sebenarnya boleh diadakan secara dalam talian ketika perintah kawalan pergerakan dan perbahasan yang teratur dan produktif tentang isu-isu penting untuk rakyat masih dapat dijalankan.

KRYSS Network mendapati bahawa keganasan dan gangguan berdasarkan gender dalam talian sebahagian besarnya telah ditujukan kepada para peserta “Yang Berkhidmat” yang terdiri daripada golongan wanita termasuk peserta yang mewakili daerah Selayang dan Labis.

Serangan-serangan ini terus berlanjutan walaupun acara tersebut telah tamat.

Para peserta telah menghadapi pelbagai bentuk keganasan berdasarkan gender dalam talian, termasuk serangan berkumpulan, gangguan seksual, ancaman keganasan fizikal dan komen-komen berbaur perkauman.

Keganasan berdasarkan gender dalam talian bukanlah satu fenomena baru tetapi ia adalah lanjutan daripada keganasan berdasarkan gender dan kesan negatif boleh menjadi sangat teruk.

Ia bermula daripada isu-isu yang lebih besar seperti ketidaksamaan gender, seksisme dan prejudis terhadap wanita misogyny yang menghalang kemajuan negara kita.

Teknologi digital telah menjadikan keganasan berdasarkan gender berkembang dengan lebih cepat, lebih meluas dan lebih serius.

Para wanita seperti ahli politik, wartawan, aktivis hak wanita, feminis, peguam, dan juga artis telah menjadi sasaran keganasan berdasarkan gender dalam talian.

Hakikatnya wanita dan gadis, dengan pelbagai latar belakang menghadapi reaksi negatif yang tidak seimbang terhadap penyertaan awam dan politik mereka secara dalam talian ataupun tidak.

Baru-baru ini, dalam parlimen ucapan berbaur perkauman diskriminasi berdasarkan warna kulit (colourism) dan seksis telah dilakukan oleh ahli parlimen Baling YB Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap ahli parlimen Batu Kawan YB Kasthuri Patto.


Azeez mohon maaf


Setelah memantau dan mendokumentasikan keganasan berdasarkan gender dalam talian, KRYSS Network telah mendapati kebiasaanya para pelaku tersebut sama seperti mereka yang membuat kenyataan seksis dan prejudis di luar talian. 

Selain itu, tidak menghiraukan langsung terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh golongan wanita dan kelakuan si pelaku ini juga telah sengaja dirancang untuk memperkecilkan kepentingan penyertaan awam dan politik oleh golongan wanita.

Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) menyatakan dalam Rekomendasi Am No 35 bahawa teknologi adalah satu faktor yang mengakibatkan keganasan berdasarkan gender terhadap wanita.

Pelapor Khas PBB mengenai Keganasan Terhadap Wanita mengiktiraf bahawa hubungan antara teknologi dan piawaian hak asasi wanita ditandakan serupa dengan pengiktirafan prinsip iaitu hak asasi manusia yang dilindungi di luar talian juga harus dilindungi dalam talian.

Kami menggesa kerajaan agar memandang serius ancaman terhadap penyertaan awam dan politik oleh golongan wanita dan kerajaan disarankan untuk menubuhkan satu jawatankuasa antara kementerian.

Ini membolehkan mangsa-mangsa dapat melaporkan secara langsung insiden keganasan dan gangguan berdasarkan gender dalam talian.

Program pendidikan awam mengenai kesaksamaan gender dan hak penyertaan awam dan politik oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat membantu membentuk semula sikap negatif terhadap penyertaan awam dan politik oleh golongan wanita.

Kami juga menggesa agar Kementerian Pendidikan memperkenalkan pendidikan hak asasi manusia dan pengajian gender untuk meningkatkan kefahaman dan menghargai penyertaan awam dan politik oleh golongan wanita dan kesaksamaan gender secara umum.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS