Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umum tahu tentang usaha KKM untuk tidak lagi melantik jawatan kekal kepada kebanyakan doktor-doktor muda yang bertugas sekarang.

Mereka dilantik menjadi doktor kontrak, bekerja seperti doktor kekal, dengan beban kerja yang sama dengan gaji yang lebih rendah.

Pegawai perubatan kontrak baru-baru ini dikejutkan lagi dengan berita buruk bahawa mereka yang bertugas di Jabatan Psikiatri dan Jabatan Radiologi tidak layak lagi untuk mendapat cuti tugas khas perubatan selama 14 hari lebih dari doktor yang berkhidmat di jabatan lain.

Cuti ini asalnya diperkenalkan untuk memberi doktor di jabatan terbabit kelepasan untuk mengurangkan risiko mereka dari terdedah pada radiasi bagi doktor unit radiologi dan untuk menjamin kesihatan mental yang lebih baik pada doktor unit psikiatri.

Bagi doktor psikiatri, apabila mereka merawat seseorang pesakit yang mempunyai kemurungan, emosi negatif itu akan berpindah ke minda doktor dan mungkin mempengaruhi emosi doktor itu.

Jadi cuti 14 hari yang lebih itu dicipta untuk mengurangkan beban emosi dan stres pada doktor dalam bidang ini.

Bagi doktor radiologi pula, pendedahan yang banyak kepada x-ray boleh meningkatkan risiko mereka untuk mendapat kanser atau mutasi genetik yang lain.

Diharap apabila doktor tidak meluangkan masanya berhampiran sinaran x-ray, maka kuranglah risiko untuknya dari risiko tadi.

Pada bulan Julai, secara tiba-tiba keluar pekeliling yang menyatakan cuti itu tidak lagi dibenarkan kepada doktor kontrak, dan sesiapa yang telah mengambil cuti tersebut akan ditolak cutinya dari cuti rehat umum 14 hari yang asal.

Soalan yang menarik di sini adalah, adakah doktor kontrak yang menerima gaji yang kurang dari rakan sejawatnya yang berstatus perkhidmatan kekal, yang mempunyai beban kerja yang sama dengan doktor berstatus kekal itu secara tiba-tiba kebal dari radiasi hanya kerana dia berstatus kontrak?

Adakah juga doktor kontrak ini kebal dari tekanan emosi yang boleh didapati dari transference emosi pesakit mental yang dirawatnya hanya kerana dia kontrak?

Sudahlah gajinya kurang, tanggungjawabnya sama berat dengan doktor kekal, tiba-tiba kesihatannya pula tidak bermakna lagi di mata KKM.

Dalam gelombang Covid-19 yang meletakkan doktor di barisan hadapan mutakhir ini, saya fikir kerajaan akan ambil peluang ini untuk menunjukkan mereka peduli pada doktor dan staf kesihatan, tapi lain pula jadinya.

Mungkin tindakan baru KKM ini hanya disebabkan terlepas pandang dari pihak pentadbiran, bukannya dari hati murni yang sengaja mencederakan doktor-doktor kontrak yang sudah hampa dengan dasar dasar kerajaan yang memangsakan mereka.

Saya pohon Dr Adam Baba dan Dr Noor Hisyam yang disegani tampil menjelaskan isu ini.

Mustahil KKM ada niat untuk jalankan dasar sebegini pada doktor-doktor muda kontrak, dan mustahil KKM akan biarkan doktor-doktor kontrak yang sudah jatuh itu, ditimpa tangga pula.

Jika dasar baru ini terbukti benar, pada Allahlah saya mengadu dan kepadanya kembali segala urusan.

Yang pasrah,
Doktor Kontrak


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

[Malaysiakini sedang cuma mendapatkan reaksi pihak berkenaan berkaitan aduan ini. - Editor]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS