Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Mansuhkan hukuman melibatkan kecederaan fizikal - Suhakam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memperingati Hari Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Menyokong Mangsa- mangsa Penyeksaan pada 26 Jun, ingin menekankan komitmennya yang teguh untuk memerangi penyeksaan dan terus menyokong penyertaan kepada Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT) serta Protokol Pilihan.

Larangan penyeksaan adalah termaktub di bawah Perkara 3 Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR) 1948 dan juga Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. 

Suhakam menyeru Kerajaan, selaku pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan larangan penyeksaan di bawah undang-undang adat antarabangsa, agar segera menjalankan langkah-langkah di seluruh negara, termasuk:

i. Mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kadar pemenjaraan tahanan bagi mengatasi kesesakan di pusat-pusat tahanan.

ii. Memastikan penyiasatan segera dan berkesan terhadap semua aduan dan laporan kes-kes penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan, diikuti dengan pelaksanaan proses pendakwaan dan pendengaran yang selaras dengan piawaian antarabangsa apabila wujud bukti yang boleh dipercayai.

iii. Menginstitusikan latihan hak asasi manusia dan pembangunan kapasiti untuk semua pegawai penguatkuasa dan perkhidmatan awam untuk mempelajari rangka kerja normatif yang relevan dan mengamanahkan pembangunan amalan operasi yang menghormati norma-norma ini.

iv. Pelan Tindakan Pembasmian Penyeksaan yang menyeluruh perlu  dibangunkan dengan mengambil kira tiga elemen yang saling berkait termasuk rangka kerja undang-undang larangan penyeksaan, pelaksanaan rangka kerja undang-undang yang efektif dan mekanisma untuk memantau rangka kerja undang-undang serta pelaksanaannya. Ini termasuk mengkaji semula kesesuaian dan meminda undang-undang domestik atau menggubal undang-undang baru bagi memberikan kesan kepada prinsip Konvensyen; serta mengambil langkah-langkah dari segi perundangan, pentadbiran, kehakiman dan dasar bagi mendukung hak terhadap maruah dan keselamatan setiap individu.

Apa jua bentuk tindakan penyeksaan dan layanan atau hukuman yang tidak berperikemanusiaan serta menjatuhkan maruah seharusnya tidak lagi dibenarkan berterusan. 

Suhakam menyeru Kerajaan untuk memansuhkan apa jua undang-undang berkenaan, dan bentuk hukuman alternatif yang tidak melibatkan kecederaan fizikal dilaksanakan sebagai ganti kepada hukuman dera. 

Dengan kemahuan politik serta kepimpinan teguh, Suhakam yakin ia boleh direalisasikan dalam masa terdekat.


Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS