Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Surat
SURAT | Kepentingan hubungan luar untuk melonjakkan nama negara

Sudah lebih tiga bulan sejak negara mencatatkan kes Covid-19 pertama. Biarpun pada awalnya, Malaysia negara paling terjejas di Asia Tenggara, tetapi sekarang kita disebut-sebut sebagai negara contoh dalam menangani krisis ini. Sudah tentu, ia hasil kesungguhan dan kerjasama banyak pihak - petugas kesihatan, anggota ATM dan PDRM serta seluruh rakyat Malaysia.

Namun, pada masa yang sama, kita mesti ingat, dunia tidak pernah hadapi krisis wabak sebesar ini. Tiada negara boleh menanganinya sendirian. Malaysia bertuah kerana dalam tiga bulan ini, banyak negara sudi bekerjasama. Malah, beberapa negara yang agak dingin hubungan dengan Malaysia dalam 2 tahun kebelakangan ini turut membantu.

Kerajaan India misalnya, beri kebenaran mendarat khas kepada lebih 18 pesawat dari Malaysia untuk bawa keluar lebih 3,000 rakyat kita yang terkandas di sana. Jumlah ini antara yang tertinggi diperolehi satu-satu negara.

Selain itu, hanya dengan satu surat daripada Menteri Luar, Hishammuddin Hussein kepada rakan sejawatnya, kerajaan China menyumbang lebih 700,000 peralatan perubatan secara percuma. Rakan negara di Timur Tengah, Arab Saudi menerusi perkenan Raja Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud sendiri telah menyumbang lebih tujuh juta peralatan perubatan selain Kerajaan UAE yang menyumbang lebih 7 tan peralatan perubatan.

Hasil sumbangan ini telah mengupayakan frontliners terutama petugas kesihatan perangi Covid-19 habis-habisan. Bukan itu sahaja, kerana penghormatan banyak negara dan usaha berterusan Wisma Putra yang dipimpin oleh Hishammuddin, kita berjaya memudah cara urusan kepulangan lebih 20,000 rakyat kita yang terkandas di 73 negara.

Mengaitkan cerita-cerita positif ini dengan politik mungkin agak klise. Tetapi memang tidak boleh dinafikan, pengaruh Hishammuddin telah meyakinkan banyak negara untuk membantu kita.

Ini termasuklah bekerjasama dengan Malaysia dalam usaha membangunkan vaksin serta ubat Covid-19. Antaranya United Kingdom, Australia, Kanada, Bosnia serta berpuluh lagi negara. Kerana keakraban, kerjasama ini hanya diperhalusi menerusi lebih 20 perbincangan secara atas talian antara Hishammuddin dengan rakan sejawat beliau.

Tidak cukup dengan itu, menerusi bantuan Hishammuddin juga, KKM dan Kementerian Kewangan juga dapat dihubungkan dengan Kerajaan UAE untuk bekerjasama dalam usaha memperkasa perkhidmatan kesihatan serta sektor ekonomi. Kementerian Pendidikan juga dapat dihubungkan dengan kerajaan UK untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan yang akan memanfaatkan para pelajar kita.

Dalam tiga bulan ini juga, Malaysia yang diwakili menteri luar dilihat lebih tegas menyatakan pendirian dalam pelbagai persidangan antarabangsa. Persidangan Menteri-menteri Luar ASEAN misalnya, Hishammuddin menggesa semua negara ASEAN bersatu dalam mendepani landskap baharu dunia susulan Covid-19. Malaysia juga tegas menyuarakan bahawa negara di bawah Non Aligned Movement (NAM) perlu yakin dengan keupayaan negara masing-masing dan tidak tunduk kepada kuasa besar. Pendek kata, peranan dan suara Malaysia kembali diperkukuh di peringkat antarabangsa.

Sebagai rakyat, perkara-perkara ini bukan sahaja menimbulkan rasa bangga tetapi juga menambah keyakinan terhadap keupayaan negara kita sendiri. Diharapkan, semoga kecemerlangan dalam tempoh 100 hari yang dicapai kerajaan khususnya Wisma Putra di bawah pimpinan Hishammuddin ini akan berterusan demi memastikan nama Malaysia terus gah di mata dunia.


ZAINOL RAHIM ZAINUDDIN ialah mantan pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Singapura dan mantan duta besar Malaysia ke Arab Saudi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS