Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Rohingya perlu pembelaan semua, ikut kemampuan masing-masing - Isma

Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) melihat isu pelarian Rohingya sebagai suatu isu kemanusiaan antarabangsa yang perlu pembelaan oleh semua pihak menurut kemampuan masing-masing.

Isma turut berpandangan bahawa penolakan kerajaan Malaysia terhadap kemasukan pelarian Rohingya ke negara ini perlulah diambil sebagai jalan penyelesaian terakhir setelah diusahakan jalan yang lain.

Berkaitan dengan kejadian di Perairan Langkawi baru-baru ini, Isma merasakan bahawa anggota keselamatan dan penguat kuasa Malaysia melakukan suatu yang betul dan terpuji apabila bertindak menyelamatkan pelarian Rohingya atas dasar kemanusiaan dari bot yang sengaja dibocorkan.

Pada dasarnya, Isma bersetuju dengan sikap kerajaan Malaysia yang berhasrat untuk menghantar semula pelarian yang diselamatkan di perairan Langkawi baru-baru ini ke Bangladesh atau negara-negara ketiga.

Adalah wajar bagi pihak kerajaan memberi tumpuan kepada warganegara sendiri yang sedang begelut dengan krisis akibat pandemik Covid-19.

Dalam masa yang sama, Isma berharap agar kerajaan tidak mengabaikan kebajikan pelarian-pelarian Rohingya yang telah berada di dalam negara, yang dilaporkan berjumlah sekitar 200,000 orang.

Kerajaan harus meningkatkan usaha di peringkat serantau dan antarabangsa untuk memastikan penyelesaian terbaik dan tuntas terhadap nasib mereka dapat dicapai.

Ini termasuk memberi tekanan kepada Myanmar supaya menghentikan polisi-polisi yang zalim terhadap etnik Rohingya ini seterusnya mengembalikan hak kewarganegaraan kepada mereka.

Pihak Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) turut diseru untuk meningkatkan usaha, berkerjasama dengan pihak kerajaan dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan hak-hak kemanusiaan pelarian-pelarian ini dapat dipenuhi.


MUHAMMAD FAUZI ASMUNI ialah timbalan presiden Isma.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS