Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Akta antilompat parti: Antara moral politik dan keadilan bagi pengundi

SURAT | Baru-baru ini, timbul kembali perdebatan hangat yang membabitkan lapisan tertentu anggota masyarakat (ahli akademik, pakar perundangan, pembuat dasar serta ahli-ahli politik) yang menjurus kepada kewajaran bagi Malaysia menggubal akta antilompat parti (AALP) dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli parlimen.

Ternyata fenomena lompat parti ini bukanlah “norma baru”, malahan tidak keterlaluan untuk kita melabelkannya sebagai “fenomena politikus sejagat” yang turut berlaku di beberapa buah negara seperti Australia, Kanada serta Great Britain.

Menurut Shad Saleem Faruqi (2019) yang juga adalah pakar perlembagaan negara, fenomena yang sama turut berlaku di Malaysia dan lazimnya terarah kepada beberapa buah negeri seperti Sabah, Perak dan Kelantan. Kemungkinan boleh dinyatakan bahawa pasca pilihan raya umum (PRU) ke-14 telah melampiaskan fenomena ini di kebanyakan negeri.

Satu contoh yang cukup jelas ialah sehari selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU ke-14 pada 2018, seramai lima Adun dari Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) serta seorang daripada BN telah menyatakan sokongan mereka terhadap Parti Warisan Sabah (Warisan) dan PH.

Berikutan tindakan itu telah mengakibatkan kerajaan BN yang diterajui oleh bekas ketua menterinya Musa Aman diganti oleh Warisan sekaligus mengakhiri “riwayat” penguasaan Umno selama lebih 26 tahun di Sabah.

Bagi tahun semasa 2020, negara menerima satu lagi kejutan apabila berlakunya pengambilalihan dalam pentadbiran negara oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang juga telah menamatkan penguasaan PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan sahaja iaitu sehingga Februari 2020.

Peristiwa berkenaan berlaku hasil daripada “penghijrahan” Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama sekumpulan bekas ahli-ahli PKR yang menyokong bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Mereka seterusnya membentuk persefahaman dengan gabungan Muafakat Nasional (MN) yang diterajui oleh Umno dan PAS serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menerusi gabungan berkenaan telah menyaksikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri kelapan selaras dengan Perkara 40 (2) (a) dan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Keabsahan mahupun legitimasi politik PN sebagai kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin tidak perlu dipertikaikan dengan mengambil kira amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan di Malaysia.

Namun isu yang tidak kunjung padam dan terus mendapat tempat adalah melibatkan perdebatan terhadap tindakan lompat parti oleh Adun dan ahli parlimen.

Ia adalah bersandarkan premis utama iaitu melindungi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang telah memberikan undi mereka terhadap ahli politik yang telah dipilih dan dilantik menerusi proses pilihan raya.

Kebebasan bersuara

Apabila dilontarkan cadangan terhadap keperluan Malaysia memiliki AALP ia mendapat maklum balas yang bercampur sifatnya.

Bagi perspektif dominan yang tidak mesra AALP, rata-rata menyatakan ia sukar untuk direalisasikan berikutan bertentangan dengan prinsip dan jaminan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan menerusi Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Interpretasinya ialah bagi satu-satu keputusan yang diambil oleh Adun mahupun ahli parlimen yang melompat parti mereka tidak perlu dihalang atas nama kebebasan.

Ia juga mencerminkan kebebasan mereka untuk bersuara dalam menyatakan persetujuan mahupun sebaliknya terhadap parti yang mereka anggotai. Terdapat persepsi yang mengatakan jika AALP diwujudkan ia hanyalah sesuai bagi negara yang belum mencapai tahap matang yang melibatkan amalan demokrasi.

Pernyataan ini memerlukan penjelasan lanjut berserta dengan contoh-contoh yang konkrit serta kayu pengukur yang menunjukkan negara yang amalan demokrasinya benar-benar telah matang.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Ia dibentuk dan dizahirkan penggunaannya setelah melalui beberapa proses utama di peringkat parlimen sekaligus menunjukkan betapa telitinya setiap perbahasan serta klausa-klausa yang terkandung bagi setiap undang-undang yang diwujudkan.

Berkenaan dengan Perkara 10 (1) (c) ia juga perlu dibaca dengan dengan Perkara 10 (2) (a) Ia memperuntukkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan didapati perlu atau sesuai untuk kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan bertujuan melindungi keistimewaan parlimen.

Menerusi bacaan ini, tindakan lompat parti oleh Adun serta ahli parlimen telah menjadi pertikaian dan ia adalah terkesan membabitkan moraliti ahli-ahli politik berkenaan. Berlainan kesnya dengan ahli-ahli politik yang tidak memasuki pilihan raya dan tidak diundi oleh rakyat.

Sekiranya mereka melompat parti sekalipun disebabkan tidak berpuas hati atau atas apa juga sebab, mereka tidak dipilih oleh rakyat dalam mana-mana proses pilihan raya. Di sini jelas mandat dan suara rakyat tidak diberikan kepada mereka.

Shad Saleem Faruqi turut menambah bahawa sesiapa sahaja boleh berpersatuan, tidak berpersatuan atau kembali berpersatuan dengan mana-mana pihak. Tetapi dalam masa yang sama hak serta kebebasan berpersatuan adalah turut melibatkan aspek moraliti.

Mandat rakyat

Ia bukan hanya terarah kepada moraliti berkaitan seks tetapi turut melibatkan moraliti politik. Kerana itu juga terdapat beberapa buah negara di dunia yang telah menggubal akta berkaitan lompat parti. Antaranya ialah seperti India, Bangladesh dan Maldives.

Bagi kes lompat parti di Malaysia, kes yang selalu dijadikan rujukan ialah melibatkan Nordin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992] 1 CLJ343: [1992] 1 CLJ 463 apabila pada April 1992 Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) telah memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Di sini pihak Mahkamah Persekutuan memiliki kuasa untuk mengubah keputusannya menerusi pengkajian semula keputusan kes Nordin Salleh berasaskan kepada Perkara 10 (2) (a) sekaligus membentuk perundangan baru terhadap isu lompat parti yang dapat menghentikan pertikaiannya sekaligus menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara.

Dalam usaha menjadi sebuah negara yang bermaruah dan dinamik sifatnya, kita perlu lebih terbuka dalam mencari penyelesaian terhadap sebarang masalah yang dihadapi.

Ahli-ahli politik negara yang telah dipilih menerusi proses pilihan raya adalah membawa mandat, hak dan suara rakyat yang telah mengundi mereka. Bagi negara-negara yang telah memiliki AALP telah mensyaratkan jika ahli politik ingin bertukar parti mereka dibenarkan hanya setelah mereka mengembalikan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih.

Dengan adanya situasi sebegini ia tidaklah menjadi halangan kepada hak untuk berpersatuan serta yang lebih utama ialah mandat rakyat turut terpelihara.

Malahan penguatkuasaan undang-undang berkenaan juga tidak akan memerlukan pihak polis dalam menangkap ahli-ahli politik kerana ia adalah berkaitan dengan terma dan klausa yang secara automatik akan menggugurkan taraf seseorang ahli politik yang ingin berpindah atau melompat parti. Tetapi dengan berhemah menyerahkan semula kepada rakyat untuk memilih dalam pilihan raya yang baru.

Apa sahaja yang dilakukan berkaitan dengan AALP adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat dan adalah suatu yang lurus bendul jika ia dikatakan hanya membawa manfaat kepada parti sahaja.


MOHD AMIRUL AKHBAR MOHD ZULKIFLI merupakan seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS