Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

SURAT | Kami prihatin terhadap nasib pelarian sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati) di Malaysia yang tidak dapat menguruskan pelbagai keperluan mereka untuk kelangsungan hidup sementara ketika menumpang di Malaysia.

Harapan mereka hanya kepada UNHCR untuk mendapat kad pendaftaran, dan dengan itu mereka boleh bergerak untuk cuba berusaha mencari kerja bagi menyara keluarga masing-masing.

Semua pelarian yang miskin terpaksa membayar sewa rumah, perbelanjaan utiliti dan kos makan minum, rawatan kesihatan serta pendidikan anak-anak, pengangkutan dan komunikasi.

Untuk menjimatkan kos, ada yang terpaksa hidup berhimpit antara tiga hingga lima keluarga dalam sebuah rumah. Ramai juga terpaksa menyewa rumah setinggan atau di kawasan pinggir bandar.

Kebanyakannya cuba berada di kawasan bandar untuk memudahkan mencari kerja. Akan tetapi mereka sangat bergantung kepada pendapatan harian dengan bekerja mengambil upah dengan mana-mana pihak tempatan yang mahu menawarkan mereka pekerjaan.

Oleh yang demikian dalam banyak keadaan mereka bergantung kepada inisiatif komuniti masing-masing untuk mengatur pelbagai keperluan serta isu yang berbangkit berkaitan kehidupan harian seperti kebajikan, kesihatan, agama, pendidikan, pekerjaan, keselamatan, dan isu mendapatkan dokumen UNHCR.

Pelarian terdedah kepada eskploitasi pelbagai pihak. Ramai yang dianiyai dengan tidak dibayar upah dan ada yang diugut ditangkap kerana tidak memilikki kad UNHCR.

Bergantung kepada ihsan masyarakat

Lantaran itu mahu tidak mahu mereka terpaksa mengambil daya usha sendiri menubuhkan organisasi untuk mengatur dan berhubung dengan pelbagai pihak bagi mewakili komuniti mereka.

Mereka maklum bahawa undang-undang Malaysia tidak membenarkan penubuhkan organisasi kerana status komuniti terbabit adalah Pati. Namun hanya dengan mewujudkan organisasi sahajalah mereka dapat mengurus pelbagai isu yang dihadapi oleh masyarakat mereka sendiri secara teratur.

Justeru adalah tidak rasional untuk menekan pendatang terbabit dengan melarang berorganisasi kerana mereka sangat memerlukan wadah bagi memanjangkan suara ketika berurusan mengenai keperluan dengan pelbagai pihak seperti NGO tempatan dan mana-mana agensi yang bersedia membantu.

Dengan yang demikian kami menyarankan agar pihak berkuasa berbincang dengan wakil-wakil pelarian bagaimana mereka harus melaksanakan aktiviti berkaitan dengan isu-isu yang dihadapi.

Kami tidak bersetuju pengumuman bahawa NGO yang mewakili mereka akan diambil tindakan undang-undang kerana organisasi mereka dianggap haram.

Sepatutnya alternatif diberi kepada mereka bagaimana kerajaan boleh membantu NGO komuniti pelarian untuk bergerak melalui saluran undang-undang yang ada.

Keadaan yang dihadapi komuniti pelarian terutama dalam tempuh PKP Covid-19 sangat kritikal kerana mereka tidak menerima apa-apa bantuan melainkan daripada beberapa NGO tempatan.

Mereka yang terpaksa bergantung kepada ihsan masyarakat tempatan sangat menyedihkan.

Kami menyarankan suatu kerangka polisi yang jelas untuk menangani pelarian yang sedia ada di Malaysia perlu digubal segera walaupun Malaysia tidak terikat dengan Konvesyen Pelarian PBB 1951.


Mohd Azmi Abdul Hamid ialah presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS