SURAT | Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada laporan media antarabangsa semalam yang melaporkan 24 etnik Rohingya maut di atas kapal yang terkandas apabila gagal untuk memasuki perairan Malaysia.
Dalam laporan tersebut juga direkodkan seramai 400 penumpang kapal tersebut dalam kebuluran setelah berada di laut selama dua bulan.
Pada minggu lalu; pihak berkuasa dilaporkan menahan 202 pelarian Rohingya yang cuba memasuki negara ini menerusi perairan Pulau Langkawi.
Abim ingin menyatakan kekesalan teradap situasi yang berlaku kerana ia adalah inisden kemanusiaan yang sentiasa berulang dari satu masa ke satu masa tanpa wujud satu perancangan yang tuntas pertubuhan dunia khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean).
Abim ingin menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 23 Januari 2020 menerusi “Provisional Measures” telah mengiktiraf etnik Rohingya sebagai etnik yang tertindas yang dinafikan hak untuk memperoleh keadilan. Maka ia mengabsahkan kewajipan untuk seluruh masyarakat dunia untuk mengangkat nilai keadilan sejagat dengan membantu memberikan hak dan keadilan buat mereka.
Dalam penghakiman tersebut juga, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mewajibkan Regim Myanmar untuk menghentikan sebarang bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap etnik Muslim Rohingya yang seterusnya akan membawa kepada jenayah Genosid (penghapusan etnik).
Justeru, sudah tiba masanya negara Malaysia serta negara-negara Asean dan seluruh anggota PBB bertindak bagi menyelesaikan secara tuntas nasib etnik Muslim Rohingya ini yang telah berlarutan selama beberapa dekad.
Ini termasuk menggesa kerajaan Myanmar mengembalikan kewarganegaraan etnik Muslim Rohingya yang telah dinafikan di negara tersebut.
Pendirian tegas yang perlu diambil ini tidak bermaksud negara-negara Asean termasuk dalam takrifan campur tangan urusan dalaman negara Myanmar tetapi ia adalah usaha menegakkan hak asasi manusia sepertimana yang diangkat menerusi kedaulatan undang-undang antarabangsa dan keadilan sejagat yang diiktiraf oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Dalam perkembangan berkaitan, Abim juga menggesa negara-negara di dunia untuk memberi ruang dan kemudahan kepada pelarian untuk mendapatkan hak saringan dan rawatan bagi wabak sedunia Covid-19 tanpa sebarang diskriminasi. Kegagalan membantu kelompok ini pasti akan menggagalkan usaha bersepadu warga dunia untuk memutuskan rantaian Covid-19 secara mutlak.
Abim juga sebagai NGO akan bersama-sama semua pemegang taruh untuk terus bersama membantu etnik Rohingya di Malaysia yang memerlukan pembelaan.
MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Isi kandungan surat ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.