Paling Popular
Terkini

Majlis Penasihat Pengguna Negara menyarankan agar pihak yang berkaitan mengambil langkah proaktif memastikan bekalan barang keperluan asas di pasaran mencukupi untuk menghadapi perintah kawalan pergerakan (PKP) Covid-19 yang berlanjutan hingga 14 April.

Jaminan rantaian bekalan makanan perlu dipastikan kerana PKP sudah mulai mengehadkan pergerakan setakat 10km dari rumah. Itu pun hanya urusan terdesak sahaja.

Jika wabak koronavirus ini tidak reda dalam tempoh dua minggu lagi dan pengguna hanya bergantung kepada bekalan di kedai runcit yang berdekatan, ada kemungkinan kelancaran bekalan akan terjejas.

Kami menyarankan pihak berkuasa membuat persiapan yang perlu supaya bekalan dan harga barangan terkawal.

Keadaan yang lebih mendesak kini ialah apabila pengguna Muslim bersiap menyambut Ramadan dan Aidilfitri.

Kawalan harga musim perayaan yang sering diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini perlu melihat semua faktor yang akan memberi kesan kepada bekalan dan permintaan pengguna.

Dengan adanya kecenderungan pengguna membeli secara pukal dan peniaga pula tidak dapat menampung bekalan yang mencukupi, keadaan akan jadi tidak menentu.

Pembelian panik dapat dibendung jika bekalan dikawal dengan lancar serta adanya mekanisme khas yang diwujudkan oleh pihak berkuasa agar keperluan asas dijamin.

Pemantauan di kawasan tertentu yang dikenal pasti mempunyai masalah logistik perlu diberi tumpuan supaya pengguna tidak terputus bekalan.

Majlis Penasihat Pengguna Negara juga menasihatkan pengguna memberi keutamaan kepada keperluan asas dan tidak berbelanja ke atas barangan kurang utama untuk sambutan Ramadan dan Hari Raya Puasa nanti.

Kami mengambil perhatian kepada budaya berbelanja pengguna dalam sambutan perayaan kebiasaannya melebihi biasa. Akan tetapi dalam keadaan yang kritikal seperti penularan wabak Covid-19, pengguna perlu benar-benar berhemat.

Kami mengesyorkan stok penimbal beras disemak semula memandangkan keadaan pasaran jauh berbeza daripada situasi biasa.

Wabak Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada pengeluaran dalam negara malah juga menjejaskan bekalan import dari luar.

Lantaran itu Majlis Penasihat Pengguna Negara menasihatkan agensi yang berkenaan menyemak semula semua senarai barangan makanan asas yang bergantung kepada import.

Kami mencadangkan:

1. Agensi penguatkuasaan tempatan membuat persiapan proaktif memastikan bekalanan asas lokal terjamin.

2. Suatu pusat pembekalan bersepadu yang dikawal selia oleh pihak kerajaan diwujudkan untuk menampung keperluan yang terdesak.

3. Pihak penguat kuasa memantau harga dan bekalan kerperluan asas terutama di kawasan permintaan pengguna yang tinggi.

4. Kawasan luar bandar yang menerima bekalan dari bandar perlu dipastikan agar tidak berlaku keadaan terputus bekalan dan kenaikan harga diluar kawalan.


Mohd Azmi Abdul Hamid ialah pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS