Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Barangkali ada yang tidak menyedari erti di sebalik tarikh dua hari lalu – 25 Mac 2020.

Ia merupakan tarikh keramat bagi memperingati Hari Polis ke-213. Namun sayang sekali bagi pegawai-pegawai berbaju biru ini kerana tiada sambutan peringatan untuk mereka, tidak seperti tahun-tahun lalu, berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Hari Polis ke-213 yang bertemakan ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ adalah sangat relevan di saat negara kita dan seluruh dunia sedang memerangi wabak Covid-19. Mungkin masih ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak sedar akan peranan, tanggungjawab dan pengorbanan oleh anggota polis.

Bidang dan skop tugas polis adalah sangat luas sehingga boleh dikatakan bahawa kebanyakan undang-undang yang berada di antara bumi dan langit adalah ditadbir oleh pasukan ini.

Begitulah halnya apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan PKP yang bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020, dan kini dilanjutkan lagi sehingga 14 April.

PDRM yang diberi mandat untuk menguatkuasakan perintah tersebut di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) juga perlu melanjutkan aktiviti sekatan jalan dan rondaan bagi mengawasi pematuhan masyarakat terhadap arahan kerajaan.

Sangat besar pengorbanan oleh mereka. Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador telah mengerahkan semua anggota di ibu pejabat Polis Bukit Aman, di negeri dan daerah, untuk menumpukan penguatkuasaan PKP dalam usaha untuk memutuskan rangkaian virus Covid-19.

Pada masa sama tugas harian mereka, antaranya mengawal keamanan sempadan, mencegah jenayah, kawalan lalu lintas, berjalan seperti biasa. Seramai 46,000 anggota polis terlibat untuk meronda, membuat hebahan kepada masyarakat, menjalankan pemeriksaan ke pusat yang menjadi tumpuan ramai, mengadakan sekatan jalan raya secara berterusan selama tempoh PKP dikuatkuasakan

Ini dilakukan siang dan malam, tidak kira hujan dan panas.

Wabak Covid-19 yang saban hari meragut satu persatu nyawa rakyat kita tentu sekali merupakan berita yang disambut dengan perasaan sedih dan takut oleh ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat handai pesakit Covid-19 yang lain.

Tanpa kita sedari dan mungkin juga tanpa dipeduli, petugas barisan hadapan, antaranya kakitangan Kementerian Kesihatan, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Imigresen, setiap hari mendedahkan diri mereka kepada risiko jangkitan demi keselamatan masyarakat.

Biarpun dengan risiko itu, PDRM terus teguh berdiri dalam melaksanakan tugas dan amanah agar orang ramai mematuhi PKP. Pengorbanan besar mereka ini perlu dibalas dengan kerjasama masyarakat untuk mengehadkan pergerakan dan sebaiknya tidak meninggalkan rumah sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah itu.

Kepada semua warga PDRM, Selamat Menyambut Hari Polis ke-213, semoga sentiasa di bawah lembayung rahmat-Nya. Segala pengorbanan dan jasa baik warga PDRM akan sentiasa terpahat di hati rakyat Malaysia. Selamat menjalankan tugas, wira yang tidak didendang.


DAYANA NAJWA JAINON adalah peguam dan pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS