Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peristiwa “Langkah Sheraton” minggu lalu menjadi titik hitam sejarah kerajaan Pakatan Harapan. Ia menjadi tinta yang kekal dalam lipatan sejarah politik tanah air kita apabila PH yang telah berjaya menjadi kerajaan dengan menjatuhkan sebuah kerajaan yang memerintah sejak 61 tahun negara ini merdeka, kembali menjadi pembangkang tak sampai sepenggal. Padan dengan muka.

Nak lepaskan diri, kita boleh saja salahkan musuh. Menyalahkan Azmin Ali atau Muhyiddin Yassin adalah benda yang sangat enteng. Tak perlu buat kajian mendalam pun. Tapi betulkah semua ini salah mereka saja?

Saya sebagai anak muda dalam Bersatu, saya melihat sesuatu keadaan secara objektif, kami tak mahu pikul beban sejarah politik lampau. Kami straight forward. Kalau betul, betullah. Kalau salah, salahlah. Apa nak pusing-pusing?

Saya ambil nasihat Tun. Kalau kita nak maju, jangan sibuk salahkan orang lain. Usaha dan baikilah diri sendiri.

Saya percaya, 90 peratus kesilapan atau kesalahan hingga membawa kejatuhan kerajaan PH adalah kesilapan PH sendiri. Dalam PH, DAP antara parti kedua dominan dari segi jumlah kerusi (42 ahli parlimen). DAP adalah pembawa obor politik Anwar Ibrahim. Ini bukan rahsia. Semua orang tahu.

Saya mengenali DAP baru saja lagi. Taklah kenal sangat. Tetapi dengan melihat gelagat sesetengah pemimpin DAP semenjak menjadi kerajaan, membuatkan saya sebagai anak muda menjadi semakin muak.

Gaya politik pemimpin tertinggi DAP langsung tidak cuba memahami psiki politik Melayu. Mereka hanya tahu Anwar PM, Anwar PM dan Anwar PM, sedangkan semua tahu, Anwar tak cukup majoriti. Azmin sendiri pun dia tak dapat kawal.

Balik kepada DAP. Pemimpin-pemimpin muda dalam DAP seperti Steven Sim Chee Keong (mantan timbalan menteri belia dan sukan), Hannah Yeoh (mantan timbalan menteri wanita dan keluarga), Yeo Bee Yin (mantan menteri alam sekitar), Howard Lee, (exco sukan Perak), Sheikh Omar Ali (mantan exco Johor), Rara (Adun Pahang), Syahredzan Johan (setiausaha politik Lim Kit Siang) antara tokoh muda yang mempunyai karektor politik yang profesional, sederhana dan beridealisme.

Mereka ini adalah model kepimpinan baharu DAP.

Tetapi, kebolehan dan ketokohan pemimpin-pemimpin muda DAP ini dirosakkan oleh sikap politik orang-orang lama dan pemimpin utama DAP yang sombong, bongkak, angkuh dan rasis.

Kesombongan taiko-taiko DAP inilah menjadi duri dalam daging kerajaan PH. Kakitangan kerajaan mengadu dengan sikap bongkak 'taiko-taiko' DAP ini. Lagak ini dibawa hingga ke mesyuarat Pakatan Harapan termasuk diperingkat Majlis Presiden.

Dalam kepala taiko-taiko DAP ini hanya mahu Anwar jadi PM. Tak ada benda lain yang mereka mahu.

Hinggalah ke suatu tahap, dalam mesyuarat majlis Presiden PH, beberapa orang taiko-taiko DAP ini bersikap sangat keras dengan Tun.

Kesabaran Mahathir ada hadnya. Taiko-taiko DAP ini bila membuka mulut, tiada benda lain, hanya bercakap untuk memastikan Anwar ditabalkan menjadi PM seberapa segera.

Seolah-olah inilah perkara paling utama dalam agenda PH sebagai kerajaan. Tapi depan rakyat, pandai beretorik nak fokus ekonomi rakyat.

Sikap, lagak dan gaya politik angkuh taiko DAP inilah menjadi punca krisis hingga membawa kejatuhan kerajaan PH.

Inilah yang menimbulkan kebencian Muhyiddin Yassin hingga bertindak luar batas apabila membawa keluar Bersatu dari PH.

Lepas itu pakat beramai-ramai mengutuk Tan Sri sebagai pengkhianat. Siapa sebenarnya pengkhianat?

Taiko-taiko DAP inilah pengkhianat, merekalah pengkhianat Tun, hingga Tun naik bosan, hingga Tun dan Tan Sri berselisih faham.

Merekalah pengkhianat kepada kerajaan PH. Sokong membawa rebah. Paling sedih, merekalah yang merosakkan masa depan pemimpin-pemimpin muda dalam DAP.

Kerana merekalah barisan pemimpin muda mereka yang penuh berbakat ini, hilang kerja.

Saya orang muda, saya sayang tokoh-tokoh muda dalam DAP, Amanah, PKR dan parti saya Bersatu.

Bagi saya, benda paling sedih adalah melihat kelamnya masa depan pemimpin muda ini. Ia dirosakkan oleh nafsu gila pemimpin lama.

Saya berharap Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat pegang pada janji untuk tidak beri ruang kepada pemimpin tua yang tidak bersih.

Saya rayu, janganlah rosakkan usaha kami anak-anak muda sebaliknya, berilah ruang kepada pemimpin muda yang terbukti profesional dari pelbagai parti untuk membantu Tan Sri memajukan dan memakmurkan ekonomi dan negara kita.

Selamatkan pemimpin muda dan pelapis kita, tinggalkan taiko-taiko DAP yang masih tak sedar diri itu.

Kit Siang, Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim, seeloknya bersaralah dari politik, anda sudah berjasa, luangkan masa anda dengan cucu anda.

Masa anda dah berlalu. Berilah ruang kepada bakat baru untuk memimpin.


MOHD FAHIM MOHD FARD ialah exco Pemuda Bersatu (Armada).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS