Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat bagi orang lain.
Oleh itu, apakah amalan kita yang dapat memberi manfaat kepada yang lain? Apakah sumbangan yang boleh kita berikan untuk kebaikan masyarakat dan negara?
Salah satu ruang yang memerlukan sumbangan kita adalah media sosial, sebuah ruang yang menempatkan pelbagai maklumat dari segenap sumber — ada juga maklumat itu yang tidak dipastikan kesahihannya.
Lebih-lebih lagi apabila media sosial ketika ini dihujani pelbagai berita palsu yang dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan masyarakat, seterusnya mengganggu-gugat ketenteraman awam.
Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini mendapati media sosial dan aplikasi pesanan menjadi platform utama penularan berita palsu mengenai novel coronavirus.
Perlu diingatkan bahawa penyebar berita palsu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan juga boleh dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
Terdapat pelbagai mekanisme untuk mengenal pasti sama ada sesebuah maklumat itu palsu atau sebaliknya. Ia bergantung kepada usaha kita untuk mengenalpastinya.
Usaha ini mampu memupuk diri kita untuk menjadi masyarakat yang bertanggungjawab, proaktif dan bertatasusila selaras dengan aspirasi negara.
Pemikiran analitikal
Apabila seseorang itu memperoleh sesebuah berita, seharusnya perkara utama yang perlu difikirkannya adalah dari mana sumber berita itu, apa tujuan penyebarannya dan apa kesannya kepada masyarakat umum.
Dengan menggunakan pengamatan secara analitikal sebaik-baiknya, nescaya kita dapat sedikit sebanyak mengenal pasti kesahihan berita berkenaan.
Kita perlu mewujudkan satu pendekatan sendiri untuk mengenal pasti kesahihan maklumat-maklumat ini. Kita perlu menjadi ejen penghalang kepada berita-berita palsu ini.
Jika anda menerima apa-apa berita, anda dinasihatkan agar terlebih dahulu meneliti kredibiliti penerbitnya. Sesebuah artikel yang popular dalam kalangan pengguna media sosial tidak semestinya tepat isi kandungannya.
Terdapat maklumat yang terang-terangan datang daripada sumber yang meragukan dan boleh disanggah dengan mudah.
Namun begitu, jika maklumat-maklumat itu sukar untuk disahkan, kewujudan media arus perdana boleh dimanfaatkan. Laporan berita daripada agensi berita nasional, Bernama, misalnya, boleh dijadikan sandaran serta rujukan.
Terdapat juga laman web berfungsi sebagai penyemak fakta, atau ‘fact checker’, seperti sebenarnya.my yang menyiarkan maklumat-maklumat sahih kepada orang ramai sekali gus memadam dakwaan-dakwaan palsu yang wujud.
Kesimpulannya, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, menjadi peranan kita untuk memastikan rakyat tidak terbelenggu dengan masalah berita palsu ini.
Peranan kita sebagai ejen penghalang berita palsu adalah penting untuk memastikan berita-berita seumpama itu tidak tersebar sehingga membawa kepada kemudaratan yang merugikan kepada negara.
Orang ramai turut perlu diberikan pendedahan seluas-luasnya terhadap kaedah pemikiran secara analitikal dalam membendung penularan berita palsu ini terutama menerusi iklan-iklan serta pengumuman khidmat masyarakat (PSA).
Jika tanggungjawab memerangi penyebaran berita-berita palsu ini dapat digalas oleh setiap masyarakat secara keseluruhannya, sudah pasti masalah ini dapat dihapuskan dengan efektif.
SOFIAN BAHAROM adalah bekas pengamal media arus perdana.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.