Saya seorang yang layak mendapat tempat di kolej tempatan, malah mendapat biasiswa daripada sebuah syarikat korporat. Namun, atas sebab yang tiada kena-mengena dengan prestasi saya sebagai seorang pelajar, saya telah diberhentikan daripada menyambung pengajian dan biasiswa saya juga turut ditarik balik. Dengan perkongsian ini, saya berharap dapat membuka mata pembaca tentang realiti diskriminasi oleh institusi terhadap orang muda seperti saya.
Saya individu yang hidup dengan HIV. Regimen ubat dan temu janji doktor adalah kewajipan yang tak boleh diambil mudah. Sejak disahkan berstatus HIV positif, saya akan berkunjung ke klinik kesihatan berhampiran dengan kolej kediaman setiap bulan untuk rawatan serta memastikan bekalan ubat mencukupi. Ini satu iltizam diri supaya dapat hidup dengan sihat dan bergiat dalam kehidupan harian seperti biasa.
Pada suatu hari, saya mula risau tentang bekalan ubat yang semakin menyusut. Peraturan kampus mengkehendaki pelajar mendapatkan kebenaran untuk keluar dari kawasan kampus. Maka, saya berjumpa dengan pegawai pembantu perubatan untuk mendapatkan kebenaran keluar ke klinik kesihatan. Dia pula menanyakan keperluan saya untuk keluar berjumpa doktor.
Pada ketika itu, status saya sebagai seseorang yang HIV positif tidak diketahui umum. Hanya ibu bapa dan beberapa kenalan rapat saja yang tahu. Keputusan ini dibuat berdasarkan kejahilan dan stigma masyarakat tentang virus ini. Saya cuba berhelah dengan pegawai tersebut dan menyatakan bahawa saya mengalami masalah kulit dan memerlukan rawatan segera. Namun, pegawai itu tak percaya dan terus memeriksa saya. Dia memutuskan bahawa keadaan kulit saya baik-baik saja.
Dalam kebuntuan dan keterdesakan itu, saya membuat keputusan untuk memberitahunya hal yang sebenar. Lagi pun, dia seorang pegawai pembantu perubatan yang mana kesihatan pelajar dan kerahsiaan maklumat sulit adalah kewajipan dalam tugasnya. Malangnya, harapkan pegar, pegar makan padi.
Tanpa pengetahuan saya, pegawai tersebut telah melaporkan status HIV saya kepada dekan kampus. Sungguh, saya amat marah dengan tindakannya kerana tidak pernah memberi kebenaran untuk memaklumkan status HIV saya kepada sesiapa pun. Dengan tindakan pegawai pembantu perubatan itu bermulalah siri tindakan terhadap saya oleh pihak institusi.
Saya disuruh menulis kepada pihak pengurusan kampus bagi menerangkan bahawa saya sihat untuk meneruskan pelajaran. Tapi surat tersebut hanya sia-sia. Tiba-tiba, pengajian saya digantung atas alasan pihak kolej perlu menjalankan siasatan lanjut. Ketua warden pula mengarahkan saya mengemaskan barang dalam bilik kediaman dan ibu bapa dipanggil untuk menjemput saya pulang.
Semua keputusan dan arahan daripada pihak kolej tidak direkodkan dalam apa pun surat rasmi kepada saya, maka setiap arahan yang diberi kepada saya umpama tindakan-tindakan rambang. Segala yang berlaku bukan saja menimbulkan ketidaktentuan bagi diri saya tapi menimbulkan konflik dalam keluarga.
Kekecewaan dan kebimbangan ibu bapa yang memang sudah tahu tentang status HIV saya kemudian terzahir dalam bentuk negatif. Bimbang tentang keputusan pihak kolej yang masih dinantikan, saya dilarang bertemu dengan sesiapa.
Apabila dihubungi wakil kolej, saya diberitahu bahawa saya perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh pihak kampus sendiri. Antaranya, saya disuruh menjalani kaunseling - yang kaunselor tersebut lebih memainkan peranan sebagai penyiasat. Dari permulaan lagi dia sudah curiga terhadap saya dan hendakkan saya tidak menyembunyikan apa-apa perkara. Saya tidak selesa langsung dengan caranya. Akhirnya, desakan kaunselor adalah untuk saya mengaku bahawa saya seorang gay.
Tidak dijangkakan yang pengakuan saya akan dijadikan “bukti” untuk menamatkan pengajian serta penarikan biasiswa saya. Pihak penaja dipanggil menghadiri menyurat di mana saya dimanupulasi untuk mengaku bahawa saya terlibat dengan aktiviti seksual dengan pelajar lain di kampus. Mereka tiada bukti kukuh maka perlukan pengakuan daripada saya. Saya terjerat.
Penaja mengarahkan saya untuk menulis surat tunjuk sebab bersertakan pengakuan tentang status HIV dan aktiviti seksual saya di kampus. Saya hampir kemurungan kerana terpaksa membuat pengakuan bertulis sebegitu rupa. Sebulan kemudian, saya diberi notis pergantungan pengajian dan penarikan biasiswa dengan alasan saya melanggar etika pelajar dan berpelakuan tidak bermoral. Terduduk saya mengenang nasib bila mendapat khabar itu.
Sejak mendapat tahu tentang status HIV saya, saya mula belajar bagaimana untuk menjaga diri dan diri mereka yang intim dengan saya. Dalam dunia yang serba rumit ini, sesiapa pun boleh dijangkiti virus HIV. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang ilmu dan informasi tentang virus ini disekat-sekat tanpa memikirkan natijahnya. Tapi, dengan maklumat dan rawatan yang baik, dunia tidak berakhir bagi kita. Apa yang saya sedar daripada pengalaman ini adalah kehancuran datang daripada kebencian orang lain.
Terlalu sukar untuk saya gambarkan kesedihan dan rasa hampa yang terbuku. Hidup saya berubah sekelip mata hanya kerana ingin mendapatkan rawatan kesihatan sewajarnya. Pengalaman pahit itu masih segar dalam ingatan dan setiap kali saya terdengar tentang penindasan terhadap orang-orang yang menghidap HIV, atau mana-mana orang gay, hati saya sedih dan risau.
Entah apa tindakan dan manipulasi yang dihadapi mereka. Yang ditahan pula, adakah antara mereka yang memerlukan rawatan? Adakah pihak berkuasa yang menjerat mereka bertanyakan tentang kesihatan atau keperluan ubat-ubatan? Adakah masa hadapan mereka akan dihancurkan sepertimana diperlakukan terhadap saya? Buat masa ini, saya hanya dapat berdoa mereka akan dibebaskan daripada apa-apa penindasan selanjutnya oleh pihak institusi.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.