Kecoh baru-baru ini apabila terdapat kemungkinan bahawa India mungkin akan berhenti mengimport minyak sawit dari Malaysia, susulan daripada ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkenaan konflik di wilayah Jammu-Kashmir.
Setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan India, tetapi beberapa pihak seperti Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) sudah pun menggesa pedagang India untuk berhenti membeli sawit dari Malaysia.
Selain itu, netizen India juga melawan kenyataan Dr Mahathir dan memulakan kempen #BoycottMalaysia di media sosial dan saluran YouTube.
Sejauh mana isu ini akan mempengaruhi hubungan dua hala di antara India dan Malaysia masih belum dikenal pasti, tetapi yang paling rugi dalam ‘perang perdagangan kecil’ ini tentunya adalah para peneroka Felda.
Kerajaan Malaysia sudah pun menghadapi bermacam halangan sejak beberapa tahun lalu dalam mengeksport hasil sawit kita.
Daripada Kesatuan Eropah (EU) yang melobi untuk tidak menggunakan minyak sawit hinggalah harga sawit mentah (CPO) yang semakin menurun, sekarang ini bukanlah waktu yang mudah untuk mengeksport sawit.
Oleh itu, kita tidak berdaya untuk kehilangan mana-mana pembeli sawit kita yang sedia ada.
Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), India merupakan pengimport sawit Malaysia yang terbesar dengan 3.91 juta tan pada tahun 2019 sahaja, 2.29 juta tan lebih tinggi daripada pengimport kedua terbesar iaitu China (1.62 juta).
Kehilangan India sebagai pengimport sawit terbesar kita akan memberikan kesan yang dahsyat kepada peneroka Felda.
Sesetengah pedagang India sudah pun memberhentikan import sawit dari Malaysia untuk bulan November dan Disember, serta merancang untuk menukar sumber sawit kepada yang dihasilkan di Indonesia.
Jika isu ini berterusan, tentunya akan terdapat lambakan sawit yang menggunung jika India berhenti membeli sawit kita, sehingga 400 ribu tan sebulan!
Jika itu terjadi, bagaimana kerajaan nak menampung pendapatan 112,000 peneroka Felda di seluruh Malaysia yang kebanyakannya bergantung sepenuhnya pada hasil jualan sawit?
Walaupun ada juga rakyat India yang tidak bersetuju dengan tindakan ini seperti Jawatankuasa Kongres Tamil Nadu (TNCC), isu ini masih belum nampak penghujungnya.
Dr Mahathir dan Menteri Industri Asas, Teresa Kok, mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membaik pulih hubungan perdagangan dengan India, demi menjaga kebajikan para peneroka Felda yang sekarang sudah pun berada dalam kesempitan.
SHERMAN SS adalah penasihat (ekonomi dan kewangan) di Singapura.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.