Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) membantah sekeras-kerasnya tajuk-tajuk dalam Pertandingan Debat Piala Tun Razak Kelapan yang berlangsung pada 11 hingga 13 Okt di Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban.

Tajuk yang membahaskan keperluan menulis semula al-Quran jelas bertentangan dengan akidah Islam.

Hal itu kerana Allah SWT telah menjelaskan bahawa dengan turunnya wahyu terakhir, maka lengkap dan sempurnalah ajaran Islam yang kesemuanya terkandung dalam al-Quran.

Oleh itu, penulisan semula al-Quran dengan menambah atau mengurangkan kandungan asal adalah sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Tajuk yang membahaskan keharusan amalan homoseksual pula bertentangan dengan akhlak Islam dan tidak wajar dijadikan tajuk debat.

Malaysia dengan jelas telah menolak amalan homoseksual.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan garis panduan bagi tajuk pertandingan debat - yang antara lain - tidak boleh menyentuh isu-isu sensitif agama dan perkauman.

Ikram menyokong sebarang usaha pembinaan generasi muda yang berilmu, kritis, berakhlak dan bertanggungjawab, namun tidak akan bertoleransi dalam perkara-perkara yang melanggar akidah dan prinsip-prinsip Islam.

Justeru, Ikram mendesak supaya KPM menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang telah melanggar tatacara penetapan tajuk sepertimana yang telah ditetapkan.

KPM juga diharap tidak bertoleransi dengan isu-isu yang menyentuh akidah umat Islam.

Semua jabatan dan agensi kerajaan berkaitan juga disaran agar berfungsi dengan cekap dalam menguat kuasa dasar negara, mengambil tindakan wajar dan segera serta memastikan insiden sebegini tidak berulang lagi.


Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad ialah presiden Ikram.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS