Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Undi 18: Ahli politik patut sedar kepentingan media sosial

Semenjak peralihan kuasa pentadbiran pusat buat julung kalinya dalam sejarah negara, penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun seperti yang diluluskan di parlimen baru-baru ini adalah antara bahagian yang terpenting sekali dalam melihat perubahan sistem khususnya bagi lapisan belia dan masyarakat secara keseluruhannya.

Sebagai seorang belia yang masih segar, mentah dan baru melihat gerak langkah birokrasi dan peranan autoriti dalam masyarakat, topik ini sedikit sebanyak membuka satu sudut pandang yang luas dalam cubaan mencorak dan meramalkan landskap sosiopolitik negara pada masa akan datang.

Takrifan belia tidak hanya terikat pada tafsiran global mengikut umur semata-mata bahkan dari sudut pandang sosiologinya, pendefinisian belia juga mengambil kira peranan sosial satu lapisan masyarakat berdasarkan keadaan, budaya yang dikongsi bersama serta struktur sosial yang menjadi sebahagian dari sejarah pembangunan suatu wilayah.

Nombor (umur) yang diletakkan hanyalah sebagai panduan bagi membentuk keseragaman yang utuh.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengkategorikan mereka yang berumur 15 hingga 24 tahun sebagai belia, dan kategori ini tidaklah bererti satu set kepatuhan global yang mesti diikuti. 

Dalam konteks negara Malaysia, seperti Rang Undang-Undang (RUU) yang dipersetujui Dewan Negara baru-baru ini, belia adalah mereka yang berumur 18-30 tahun dan piawaian ini hanya terpakai bermula tahun 2021 nanti.

Meskipun begitu, penting untuk lapisan remaja di negara ini mula mendapat pendidikan dan pendedahan sepatutnya mengenai politik, dasar awam dan pentadbiran bagi meminimakan kelompongan ilmu kepimpinan pada masa akan datang.

Antara cabaran utama dalam menurunkan had umur mengundi di negara ini adalah memastikan kesiapsiagaan mereka yang berumur 18 tahun ini dalam melihat, menilai, dan seterusnya memilih arus kepimpinan yang dirasakan terbaik untuk negara.

Harus diingat, mereka yang dibenarkan mengundi adalah lapisan remaja yang baru menamatkan persekolahan dan ruang kepercayaan serta kefahaman mereka dibentuk bermula dari rumah dan persekitaran mereka. 

Jadi di sini perlu ditekankan peri pentingnya capaian maklumat semasa selain didikan hal berkaitan pentadbiran dan polisi negara (secara asas) diberikan kepada mereka.

Namun begitu, di sebalik kecaman dan serangan yang ditujukan sebagai tanda tidak setuju terhadap penurunan had umur mengundi ini, seharusnya kita melihat dari sudut positif yang lain di mana pada saya punya impak yang lebih besar kepada hala tuju negara.

Pembangunan teknologi maklumat dan media masa yang sangat pantas pada masa kini memainkan peranan yang sangat besar dan secara tidak langsung melakar satu pembentukan tamadun manusia yang baru dan progresif seiring dengan perkembangan ini.

Impak teknologi maklumat ini sangatlah berkuasa hingga menembusi jaring medan politik di seluruh dunia. Jika kita lihat dan selami, segala doktrin fahaman yang ditanam untuk generasi terdahulu adalah melalui medium yang terhad seperti televisyen (yang dikawal dan ditapis) dan sebaran risalah.

Pada masa kini, pembentukan fahaman dan kecenderungan individu dipengaruhi oleh banyak sumber dan terlalu banyak medan alam maya yang digunapakai bagi menyampaikan maklumat mahupun agenda berkepentingan masing-masing.

Laporan statistik pada tahun 2018 menunjukkan peningkatan pengguna internet di negara ini berjumlah 25.08 juta orang, dan jumlah ini mewakili 79 peratus penduduk di Malaysia (Laporan Digital 2018 keluaran Hootsuit dan We Are Social).

Kuasa internet dan media sosial ini memberi impak yang besar dan di luar jangkauan terhadap suasana politik tanah air khususnya. Jika dilihat secara kasar, golongan yang paling aktif sekali dalam bersosial media adalah mereka yang ditakrifkan belia, dan seperti yang disebutkan tadi, internet sudah menjadi antara sumber yang mempengaruhi kepercayaan dan kefahaman mereka dalam konteks pentadbiran negara dan politik amnya.

Internet tidak lagi menjadi sumber sepertimana di awal kemunculannya dahulu, di mana sebaran propaganda berunsur fitnah (edit gambar, kenyataan palsu dan lain-lain) disebarkan seluas-luasnya. Kini, sebarang tuduhan fitnah atau kenyataan palsu boleh diserang balas semula oleh pihak yang berkait juga melalui platform yang sama.

Sebagai belia yang memerhati, timbal balik maklumat seperti ini lah yang seharusnya dijadikan kayu ukuran mereka untuk menilai suatu perkara. 

Alangkah ruginya mana-mana pihak berkepentingan dalam politik yang tidak menggunakan platform ini sebaik mungkin sama ada sebagai 'personal branding’, mahupun bagi capaian maklumat semasa.

Jadi penurunan had umur mengundi ini sebenarnya amat baik dan menjadi tanda amaran buat parti-parti politik yang ada supaya lebih berhati-hati dan lebih cakna dengan isu masyarakat di peringkat akar umbi dan nasional memandangkan generasi belia ini adalah antara yang terbesar jumlah pengundinya nanti.

Segala apa yang ditampilkan dan diwar-warkan melalui media sosial sedikit sebanyak akan menjadi panduan untuk para belia ini menghadam dan menilai apakah yang terbaik untuk diri mereka.

Para pemimpin dan ahli politik yang masih dengan corak aturan politik yang konservatif akan kehilangan satu peluang dalam membentuk karisma dan pengaruh mereka di ruang maya yang sudah menjadi satu lubuk untuk mereka menyebarluaskan agenda sekaligus meraih kepercayaan masyarakat di seluruh negara.

Tak perlu tunggu ceramah wakil rakyat

Para pemimpin dan ahli politik harus sedar dan peka dengan perkembangan semasa dan dalam konteks ini, media sosial pada masa ini adalah medan perang politik utama yang perlu diberi perhatian. 

Para belia tidak lagi perlu menunggu wakil rakyat di tempat mereka datang memberi ceramah di kampung untuk mendapatkan berita politik semasa.

Setiap hari, belia bergelumang dengan maklumat dari internet dan capaian ini bolehlah diibaratkan seperti jarum halus yang menyuntik kecenderungan dan kesedaran individu sedikit demi sedikit.

Seperti mana ahli perniagaan dan syarikat besar di seluruh dunia yang memanfaatkan platform ini semaksima mungkin, hal berkaitan pentadbiran dan politik negara juga seharusnya menggunakan kesempatan ini sebaik mungkin.

Mengambil contoh McDonald, sebuah restoran makanan yang sudah mempunyai ratusan francais di seluruh dunia dan boleh dikatakan antara syarikat yang memonopoli industri makanan segera. 

Hingga ke hari ini, setiap tahun McDonald membelanjakan sejumlah wang yang besar (berbilion dolar AS) untuk pemasaran dan media sosial.

Sedangkan jika kita lihat pengaruh besar McDonald dalam industri makanan sudah berada pada tahap global tapi atas dasar kesedaran terhadap perkembangan teknologi maklumat semasa, mereka masih memperuntukan sebahagian dana keuntungan bagi tujuan tersebut.

'Membuta tuli ikut ideologi'

Berbalik kepada isu utama, remaja dan golongan muda adalah mereka yang berada di tahap kehidupan paling mencabar baik dari segi keterdesakan himpitan ekonomi, mahupun kecelaruan dalam beridealisme. 

Benar, memasuki fasa remaja dan belia bererti kita mengorak langkah dalam menentukan hala tuju kita di peringkat mikro dan makro.

Sudut pandang penilaian mereka terhadap politik negara boleh dibahagikan kepada dua kelompok, golongan agresif dan kumpulan yang tidak mempedulikan langsung situasi politik negara.

Segmentasi ini berdasarkan kecenderungan dan apa yang boleh kita lihat secara langsung di laman-laman sosial berkaitan politik. Didikan mengenai pentadbiran awam harus dipandang serius kerajaan bagi memastikan golongan remaja tidak mengikuti mana-mana arus ideologi membuta tuli di samping menekankan isi kepentingan integriti dan moral pada masa yang sama.

Jika digabungkan didikan ini dengan ‘public approach’ oleh para pemimpin, nescaya masyarakat kita sudah sedia untuk berlari dengan lebih laju ke garisan hadapan berbekalkan minda yang progresif dan rasional.

Untuk golongan remaja yang tinggal di pedalaman dan kawasan yang jauh dari radar maklumat semasa, kebarangkalian pemilihan mereka bergantung kepada faktor ibu bapa dan keluarga sangatlah tinggi. 

Namun begitu, ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk para pemimpin dan ahli politik tidak mempedulikan pentingnya pembentukan imej dan karisma mereka melalui medium media sosial.

Setegar manapun keikhlasan kita berjuang demi kebaikan sejagat, pasti akan ditelan dan dibaham mereka yang terlebih dahulu ke depan. 

Suka sekali saya memetik bait dari Niccolò Machiavelli:

Whosoever desires constant success must change his conduct with the times…


ADAM MUKHRIZ YUSOF ialah pembaca Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS