Walak bermaksud kepatuhan, kasih dan setia dengan ikhlas kepada perjuangan Islam kerana Allah.
Dan kita semua tahu, ahli-ahli PAS mengamalkan prinsip walak atau setia pada perjuangan parti termasuk apa jua yang telah diputuskan oleh presiden PAS selaku tonggak utama pentadbiran parti.
Malangnya, rakan sekutu utama PAS dalam penyatuan ummah yang akan termeterai secara rasmi tidak lama lagi, Umno masih belum menghayati sepenuhnya prinsip ini terutama dalam keputusan yang dibuat oleh presidennya.
Mahu atau tidak, kita waima berbeza pendapat sekalipun dalam isu kembalinya Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden Umno, harus menghormati hak beliau untuk kembali menerajui parti itu atas mandat yang diterima walaupun menerima tekanan yang cukup hebat oleh pihak penguasa.
Sebagai pemimpin nombor satu dalam Umno yang mengalami kekalahan pada 9 Mei tahun lalu, Ahmad Zahid perlu mendapat dukungan dan sokongan tidak berbelah-bahagi dari pucuk pimpinan serta ahli-ahli Umno selain memiliki barisan kepimpinan yang mantap lagi bertenaga.
Dahulu pun, semasa menjadi pembangkang, mereka seperti Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang atau Abdul Hadi Awang selaku teraju utama parti bergelar pembangkang juga menikmati sokongan tidak berbelah-bahagi dari pucuk pimpinan dan ahli-ahli mereka.
Lebih dari itu, Umno kini memerlukan penyatuan, kesatuan dan pengembelingan tenaga semua pihak termasuk PAS dan beberapa parti lain untuk kembali mendapat sokongan secara total pengundi Melayu termasuk yang bakal mengundi buat kali pertama pada pilihan raya umum akan datang selain menarik semula undi kaum-kaum lain.
Namun, apa yang begitu menyedihkan, selaku orang yang sudah lama bergelumang dengan Umno, saya masih terdengar-dengar beberapa pucuk pimpinan parti masih berkelakuan seperti mana berada kerajaan dengan tindakan yang tidak sepatutnya - menyanggah keputusan presiden Umno walaupun tatkala menjadi pembangkang hari ini.
Justeru, wujud persoalan - apa rasionalnya untuk beberapa pucuk pimpinan utama atau 'panglima-panglima' besar dalam Umno untuk menyanggah keputusan Ahmad Zahid untuk melantik setiausaha agung BN yang baru.
Sedangkan, saya dengar-dengar, pemimpin kanan MCA dan MIC sendiri telah 'merestui' untuk melantik bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein ke jawatan berkenaan.
Pastinya, tindakan itu dibuat demi memperkukuhkan Umno selaku parti utama serta memperkasakan BN dalam menempuh ranjau dan duri menjelang PRU15 akan datang.
Jadi, apa masalahnya dan apa perlunya untuk menyanggah keputusan presiden parti untuk hal sepenting ini tatkala presiden memerlukan, kalau boleh 120 peratus, sokongan dan dukungan semua terutama pimpinan atasan untuk mengemudi Umno menuju pilihan raya umum ke-15?
Persoalan ini, saya tinggalkan buat para pembaca dan pemerhati politik negara untuk fikir atau renung-renungkan, di kala Umno dan BN sedang mengalami proses pemulihan sejak 9 Mei tahun lalu dan berdepan kerajaan yang sedang rapuh dimamah usia, walaupun baru setahun jagung di Putrajaya.
WAN AMIRUL WAN ZAKI ialah seorang pemerhati politik Umno.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.